Sambutan Hari Kebangsaan 2024 terbaik tampil kepelbagaian kaum - Ahmad Zahid

Bernama
Ogos 31, 2024 13:00 MYT
Ahmad Zahid berkata pelbagai penambahbaikan kepada acara sambutan dengan pengisian menarik khusus perbarisan, menampilkan keunikan kepelbagaian kaum termasuk pakaian tradisional, muzik dan tarian kebudayaan masing-masing. - Gambar/ Bernama
PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 antara terbaik pernah dilaksanakan, dengan perubahan dalam acara pembuka dan penutup tirai.
Beliau berkata pelbagai penambahbaikan kepada acara sambutan dengan pengisian menarik khusus perbarisan, menampilkan keunikan kepelbagaian kaum termasuk pakaian tradisional, muzik dan tarian kebudayaan masing-masing.
Ahmad Zahid berkata acara penutup tirai juga menarik dan berbeza iaitu persembahan tarian bertajuk 'Cuci Rasuah' yang mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI, dalam menghapuskan amalan rasuah.
"Tahniah kepada Menteri Komunikasi (Fahmi Fadzil) dan Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024, yang telah menghasilkan persembahan terbaik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis sambutan Hari Kebangsaan 2024 dengan tema 'Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka', di sini hari ini.
Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata seluruh rakyat Malaysia harus bersyukur kerana sekali lagi dapat menyambut Hari Kebangsaan dalam suasana aman dan semangat perpaduan.
"Negara ini aman, jauh daripada segala bencana dan rakyat hidup dengan sejahtera walaupun berbilang kaum, budaya, bahasa dan agama," katanya.
Mohamad berkata pertunjukan tahun ini menarik dengan penampilan lebih ramai golongan belia termasuk persembahan grafik kreatif oleh 2000 pelajar sekolah menengah Kuala Lumpur dan Selangor.
"Dikoordinasi dan dibuat dengan begitu baik. Mereka telah berlatih dua minggu dan satu persembahan yang baik telah dihasilkan," katanya.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani pula menyifatkan sambutan tahun ini amat meriah dan seluruh rakyat Malaysia perlu rasa bangga kerana mencapai 67 tahun kemerdekaan.
"Apa yang penting sekarang adalah untuk semua kekalkan kemerdekaan ini dalam erti yang sebenar," katanya.
Sambutan tahun ini diserikan dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, serta barisan Jemaah Menteri dan perwakilan asing.
Acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2024 dijayakan 17,262 peserta, 57 kontinjen, 22 pasukan pancaragam, 343 aset darat, 37 aset udara dan 112 haiwan dalam perkhidmatan.
-- BERNAMA
#Zahid Hamidi #sambutan hari kebangsaan #bulan Kemerdekaan #kelainan sambutan