Sambutan Hari Belia Negara ditangguh ke tarikh baharu

Bernama
April 27, 2020 20:03 MYT
KBS menegaskan keselamatan dan kesihatan setiap lapisan masyarakat khususnya golongan belia menjadi kepentingan yang paling utama. - Wikipedia
Sambutan Hari Belia Negara yang dijadualkan pada 15 Mei ini terpaksa ditangguhkan kepada satu tarikh baharu susulan penularan wabak COVID-19.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan memaklumkan sambutan berkenaan terpaksa ditangguhkan susulan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 12 Mei ini, yang menunjukkan komitmen kerajaan dalam memerangi wabak berkenaan.
"Ketetapan tarikh baharu akan berdasarkan situasi wabak COVID-19 pada masa itu.
"Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak termasuk Majlis Belia Malaysia (MBM), Badan Gabungan Induk Kebangsaan, Majlis Belia Negeri dan Majlis Belia Daerah yang bernaung di bawah MBM," demikian menurut kenyataan tersebut.
KBS menegaskan keselamatan dan kesihatan setiap lapisan masyarakat khususnya golongan belia menjadi kepentingan yang paling utama kepada kerajaan.
-- BERNAMA
#Belia #Hari Belia Negara #KBS #Kementeria Belia dan Sukan #keselamatan #kesihatan #Malaysia #sukan