Sambutan Aidilfitri: Hanya 320 anggota PDRM Terengganu dibenarkan cuti

Nur Fazlizai Ali
April 24, 2022 07:45 MYT
Kekuatan yang ada itu akan memberikan tumpuan terhadap penugasan sepanjang sambutan berkenaan termasuk rondaan cegah jenayah dan kawalan aliran trafik. - Foto fail/BERNAMA
MARANG: Hanya 320 atau 10 peratus daripada 3,200 pegawai dan anggota polis di Terengganu dibenarkan bercuti, pada sambutan Aidilfitri tahun ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, baki selebihnya akan berada dalam mod bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan berikutan cuti panjang menyambut perayaan.
Katanya menerusi kekuatan yang ada itu akan memberikan tumpuan terhadap penugasan sepanjang sambutan berkenaan termasuk rondaan cegah jenayah dan kawalan aliran trafik.
"Hanya 10 peratus sahaja dibenarkan untuk cuti secara bergilir sesuatu masa makna terpulang kepada kebijaksanaan Ketua Jabatan dan Ketua Polis daerah masing-masing untuk mengatur penugasan," katanya.
Beliau berkata pihaknya juga telah mengenalpasti dan akan menjalankan rondaan dan pemantauan di beberapa lokasi yang menjadi tumpuan ramai khususnya di malam raya.
Katanya antara yang sering menjadi tumpuan seperti di kawasan jambatan angkat serta Pantai Batu Buruk.
Hujung bulan ini orang ramai sudah mula pulang untuk bercuti menyambut Aidilfitri di kampung halaman disebabkan 1 Syawal bersambung dengan cuti umum hari pekerja pada 1 Mei.
Tahun ini adalah perayaan Aidifitri pertama di mana tiada rentas negeri selepas Malaysia beralih ke fasa endemik bermula 1 April.
#polis #cuti raya #Aidilfitri #perayaan
;