Sambutan 50 Tahun Malaysia-China, saat penting untuk diraikan - Fahmi
Bernama
Jun 19, 2024 04:55 MYT
Jun 19, 2024 04:55 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyifatkan sambutan Ulang Tahun ke-50 Penubuhan Hubungan Diplomatik antara Malaysia dan China sebagai saat yang penting untuk diraikan di samping memperkukuh kerjasama pada masa depan.
Beliau berkata sambutan itu amat bermakna memandangkan jalinan hubungan kedua-dua negara sejak 50 tahun lepas yang dimulakan oleh Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dalam kunjungan ke China kini telah membuahkan hasil yang baik.
"Hal ini telah membuahkan hasil seperti disebut Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), satu hubungan yang menyeluruh dan strategik, sebagai kerjasama komprehensif dan strategik, dan sekarang China merupakan negara dagang utama bagi Malaysia sejak 15 tahun yang lepas.
"Bagi saya, ia merupakan saat yang sangat penting untuk kita raikan, malah juga untuk melihat jauh ke depan apa yang boleh kita bina bersama di samping memastikan rantau Asia Tenggara semakin makmur dan aman dengan hubungan yang erat terutamanya antara Malaysia dengan China," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam bagi sambutan Ulang Tahun ke-50 Penubuhan Hubungan Diplomatik antara Malaysia dan China semalam.
Mengenai peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN bermula tahun depan, Fahmi yang juga jurucakap kerajaan berkata beliau percaya dengan kepengerusian ASEAN dan hubungan erat antara Malaysia dan China, bakal memberikan impak yang baik terhadap pakatan negara-negara itu.
"Perdana menteri juga menyebut tentang bagaimana Malaysia beberapa tahun yang lepas telah membuka ruang untuk China terlibat dalam perbincangan dan juga dialog bersama ASEAN," katanya.
Malaysia akan mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN daripada Laos tahun depan.
-- BERNAMA