"Sambut tetamu dengan akhlak baik" - nasihat Mufti KL kepada penyokong bola sepak
Harits Asyraf Hasnan
September 6, 2019 16:43 MYT
September 6, 2019 16:43 MYT
Tampil dengan akhlak yang baik ketika menjadi tuan rumah.
Itu nasihat yang dilontarkan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pasca kemenangan Malaysia menentang Indonesia semalam.
Menerusi muat naik artikel di laman webnya, Zulkifli juga meminta seluruh penyokong Harimau Malaya supaya mencontohi akhlak dan kebesaran jiwa Rasulullah SAW.
"Di kesempatan ini juga ingin kami gunakan untuk menyeru seluruh penyokong Harimau Malaya untuk tampil dengan akhlak yang baik saat kita sebagai tuan rumah melayan penyokong pasukan pelawat nanti.
"Ketinggian akhlak kita cerminan ketinggian mentaliti rakyat berkelas tinggi dunia. Contohilah akhlak dan kebesaran jiwa baginda Rasulullah SAW. Semoga ukhuwah Islamiyah kita akan terus subur. Insya-Allah," memetik artikel tersebut.
Beliau pada masa sama turut mengucapkan tahniah buat skuad Harimau Malaya setelah berjaya membawa pulang tiga mata amat berharga dari Gelora Bung Karno.
Malah, Zulkifli akui teruja dengan kemampuan skuad Harimau Malaya yang mampu bangkit semula sehingga berjaya memenanginya.
Dalam artikel tersebut, Zulkifli turut menggariskan beberapa perkara yang yang menjadi sebab anak didik Tan Cheng Hoe itu layak memenangi perlawanan semalam:
1. Semua pemain telah berjaya untuk tenang mengawal emosi sepanjang permainan biarpun ditekan di dalam dan luar padang oleh pemain dan puluhan ribu penyokong Indonesia.
2. Semangat tidak berputus asa semua pemain terutama barisan serangan skuad Harimau Malaya dalam usaha memburu gol sehingga wisel penamat. Sebagai contoh, Syafiq Ahmad, pemain tengah yang kerapkali turun naik akhirnya telah berjaya menjaringkan gol penyamaan kedua hasil kesungguhannya.
3. Kebijaksanaan Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe dan pasukan kejurulatihan yang cepat membaca tempo dan taktikal pihak lawan juga kemampuan pemain telah segera membawa masuk Muhamadou Sumareh dimana dia berjaya menjaringkan gol penyamaan pertama dan gol kemenangan skuad Harimau Malaya.
4. Walaupun tampak sedikit gugup dan goyah pada separuh masa pertama, barisan pertahanan skuad Harimau Malaya juga berjaya tampil memperbaiki permainan dan persefahaman di separuh masa kedua. Tahniah Kapten Farizal Marlias, Shahrul Saad, Adam Norazlin dan rakan-rakan yang telah berjaya menidakkan sebarang gol buat Indonesia di separuh masa kedua permainan.
#bola sepak
#Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
#harimau Malaya
#Indonesia
#kelayakan Piala Dunia
#Malaysia
#Mufti KL
#Mufti Wilayah Persekutuan