Sambut Tahun Baharu Cina dalam khemah

Muhafandi Muhamad
Februari 18, 2015 10:06 MYT
Keluarga Chin Swee Cheng, mangsa banjir buruk baru-baru ini, terpaksa menyambut perayaan Tahun Baharu Cina di dalam khemah perlindungan.
Menyedihkan.
Begitulah perasaan keluarga Chin Swee Cheng, mangsa banjir buruk yang melanda Pantai Timur baru-baru ini, apabila terpaksa menyambut perayaan Tahun Baharu Cina di dalam khemah perlindungan selepas rumah mereka di Kampung Baru, Gua Musang musnah.
Sejak dua bulan lalu, Swee Cheng bersama isterinya, Arob Rattanaburi dan dua anaknya Chin Qi Yao dan Chin Qi Yoke mendiami khemah sementara di Bandar Utama.
Menurut Swee Cheng, persiapan untuk menyambut perayaan termasuk kuih-muih dan pakaian raya juga masih belum dibuat selepas mereka hanya tinggal sehelai sepinggang.
Lazimnya seminggu sebelum tahun baharu, mereka sekeluarga akan berkumpul dan menghias rumah dengan hiasan tanglung, menggantung tulisan kaligrafi dan membuat kuih tradisional masyarakat Cina.
Namun, kali ini suasana amat menyedihkan apabila mereka hanya berkumpul dalam khemah dan tiada acara makan besar, samfoo dan cheongsam (pakaian tradisi kaum lelaki dan wanita Cina).
"Saya raya pun sana juga, tapi rumah pun tak ada apalah. Tak beli dah. Nak beli pun nak simpan mana tak boleh masak. Jalan-jalan rumah jiran macam tu saja," kata Swee Cheng.
"Tak adalah limau pun orang bagi, sambut pun biasa saja," kata Qi Yoke.
Sambutan perayaan bukan lagi keutamaan, namun mereka berharap kedatangan tahun kambing kali ini akan memberikan tuah dan rezeki berganda kepada keluarganya selepas ditimpa bencana.
#banjir #Chin Swee Cheng #Gua Musang #khemah perlindungan #Tahun Baharu Cina