Sambut krismas dalam suasana harmoni, rasa hormat - Najib

Bernama
Disember 24, 2014 18:59 MYT
Tanpa mengira etnik, budaya atau agama, rakyat Malaysia menghormati perayaan agama satu sama lain atas semangat perpaduan- Najib Tun Razak
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru rakyat Malaysia supaya sekali lagi bersatu atas semangat keharmonian, penerimaan dan rasa hormat untuk menyambut Krismas esok.
Beliau berkata, rakyat Malaysia juga perlu merebut peluang untuk meraikan kepelbagaian yang menjadikan negara ini begitu luar biasa.
Sambil mengucapkan Selamat Menyambut Krismas dan Selamat Tahun Baharu kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Kristian, beliau berkata inilah masanya apabila keluarga dan rakan datang bersama untuk merenung kembali tahun yang dilimpahi kesyukuran dan berharap semoga tahun baharu membawa harapan dan muhibah.
"Di Malaysia, kita diberkati dengan rakyat daripada pelbagai etnik, bahasa dan kepercayaan agama yang hidup bersama-sama. 1Malaysia melambangkan perpaduan kolektif, menekankan keharmonian kaum, perpaduan nasional dan toleransi kaum," kata Najib dalam perutusannya bersempena sambutan Krismas 2014.
Perdana Menteri menarik perhatian bahawa perlembagaan Malaysia menjamin hak kepada semua rakyat Malaysia untuk mengamalkan agama mereka.
"Dan penyelesaian 10 perkara bagi menangani isu Bible dalam bahasa Melayu dan isu lain yang berkaitan - yang dipersetujui pada 2011, dan harus konsisten dengan undang-undang negeri - diperkenalkan sebagai cara untuk menangani kepelbagaian kita dan melindungi hak ini," kata beliau.
Najib berkata beliau gembira melihat keamanan dan keharmonian yang wujud sejak negara mencapai kemerdekaan.
"Tanpa mengira etnik, budaya atau agama, rakyat Malaysia menghormati perayaan agama satu sama lain atas semangat perpaduan," kata beliau.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengingatkan semua pihak supaya menjaga batas adab, etika dan undang-undang ketika membicarakan perkara yang menyentuh isu hubungan antara agama.
Beliau berkata ini penting supaya semua dapat bersama-sama menjaga keharmonian dan kerukunan antara kaum dan agama di negara ini, seterusnya memelihara keamanan dan kedamaian yang dikecapi selama ini.
"Marilah kita bersama-sama mengekalkan hubungan yang harmonis antara kaum dan agama, sentiasa bersikap rasional, ketepikan perasaan curiga dan prejudis serta mencari titik persamaan yang boleh kita kongsi bersama.
"Mudah-mudahan persefahaman dan kerukunan hidup yang kita pupuk selama ini menjadi sumber kekuatan kita untuk menyumbang kepada kemajuan negara pada masa depan," katanya dalam perutusan perayaan Krismas.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan berkata sebagai sebuah negara majmuk, rakyat Malaysia perlu bersyukur kerana setiap perayaan masyarakat pelbagai kaum dan agama dapat disambut dengan meriah dalam suasana yang aman dan harmoni.
"Jika diimbas sejarah tamadun besar di dunia, kewujudan pelbagai kaum dan agama yang saling menghormati antara satu sama lain merupakan sumber kemajuan dan kekuatan sesebuah tamadun.
"Keharmonian dalam hubungan antara masyarakat Islam dan Kristian di Andalusia semasa pemerintahan Khilafah Islam merupakan contoh kerukunan hidup antara masyarakat pelbagai agama yang menjadi sumber kekuatan tamadun Islam pada ketika itu," kata Muhyiddin.
Beliau berkata sejarah seperti ini memberi pengajaran kepada rakyat bahawa hubungan yang baik antara masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya menjadi tonggak pembangunan dan kemajuan sesuatu bangsa.
Beliau dan keluarga turut mengambil kesempatan dengan mengucapkan selamat menyambut Hari Natal kepada semua penganut agama Kristian di negara ini.
Sementara itu, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam ucapan sempena Hari Krismas mahu rakyat Malaysia mempertahankan nilai-nilai kesederhanaan dan berwaspada terhadap pandangan ekstremis.
"Tanpa mengambil kira kepercayaan individu dan cita-cita kita, ia adalah penting bahawa kita semua memainkan peranan untuk memupuk semangat keterangkuman dan kesederhanaan dengan mengekalkan kebebasan beragama dan menggalakkan dialog antara agama dan keharmonian di negara kita," katanya dalam kenyataan.
Liow, yang juga Menteri Pengangkutan berkata dasar kesederhanaan akhirnya akan memberi faedah kepada semua rakyat, tanpa mengira bangsa, agama pada budaya.
"Negara kita hanya boleh terus membangun dan bangkit ke tahap yang lebih tinggi apabila kita tidak membiarkan perbezaan antara kita menghalang kepercayaan dan rasa hormat bersama.
"Kita sangat bertuah tergolong dalam negara yang menjadi wadah kepelbagaian budaya. Nenek moyang dan pemimpin terdahulu kita telah bertungkus-lumus untuk mencapai perpaduan, dan di pihak kita, kita masing-masing perlu bekerja keras untuk mengekalkan keamanan ini dan menolak ekstremisme," katanya.
Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong berkata Krismas memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menyebarkan mesej kebersamaan, persefahaman dan perasaan kasih sayang.
"Pada musim perayaan ini yang membawa harapan dan kemurahan, marilah kita bersatu sebagai rakyat Malaysia untuk memastikan bahawa kita melakukan semua yang termampu untuk memastikan negara yang tercinta ini terus menikmati kestabilan dan kemakmuran yang lebih kukuh," katanya.
Mah, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata rakyat Malaysia telah menyaksikan keamanan dan kemakmuran serta cabaran dan perubahan sepanjang tahun ini, 'oleh itu, adalah penting untuk memberi perhatian kepada mesej universal semasa sambutan Krismas.
"Masyarakat kita patut meneruskan hala tuju berteraskan kepercayaan dan kebaikan. Tanpa mengira bangsa atau fahaman agama, kita perlu menjalani kehidupan dengan merendah hati dan kasih sayang, 'katanya.
Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel berharap semoga golongan yang kurang bernasib baik seperti anak yatim, ibu tunggal, orang kurang upaya dan mereka yang hidup dalam kemiskinan, tidak dilupakan.
"Kita harus, jika mungkin, menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan. Kita harus berusaha untuk menarik mereka menikmati suasana gembira ini," katanya sambil menambah bahawa rakyat Malaysia juga harus memaafkan pihak yang melakukan kejahatan terhadap mereka dan belajar untuk hidup dalam harmoni.
Palanivel yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar juga menyeru masyarakat berbilang kaum di negara ini supaya meluangkan masa untuk mengunjungi rakan mereka dalam semangat 1Malaysia semasa musim perayaan Krismas ini.
#G Palanivel #Krismas #Liow Tiong Lai #mah siew keong #Malaysia #Muhyiddin Yassin #Najib Tun Razak
;