Sambut baik kebenaran umrah, SAFTTA sedia bincang SOP
Astro Awani
Januari 26, 2022 19:39 MYT
Januari 26, 2022 19:39 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengembaraan Dan Agensi Pelancongan Selangor (SAFTTA) akan mengadakan perbincangan dengan kementerian terbabit dalam merangka prosedur operasi standard (SOP) ibadah umrah.
Presidennya, Dr Fathir Badri berkata, pemakluman awal berkenaan kebenaran melaksanakan umrah bermula 8 Februari depan memudahkan pihaknya berurusan semula dengan jemaah terutama berkenaan jadual perjalanan.
"Perasaan syukur dan terharu dengan keputusan kerajaan ini kerana ianya akan memberikan kelegaan kepada hampir 10,000 jemaah umrah yang telah tertangguh perjalanan umrah mereka sebelum ini.
"Kesemua sesi pertemuan dan libat urus bersama Menteri Pelancongan dan Menteri Kesihatan nampaknya membuahkan hasil, dan mereka juga mengotakan janji mereka untuk tidak melanjutkan tempoh penggantungan perjalanan umrah melebihi satu bulan.
"Keperihatinan kerajaan yang turut berjanji untuk memaklumkan awal kepada kami juga telah mereka kotakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pihaknya pada masa sama menyeru para jemaah untuk sentiasa menjada SOP dan kebersihan ketika mereka mengerjakan umrah kelak.
Kabinet hari ini memutuskan untuk membenarkan semula umat Islam mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Feb ini, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata keputusan itu dibuat berikutan kerajaan tidak berhasrat memanjangkan tempoh penggantungan perjalanan ibadah itu yang berkuat kuasa 8 Jan lepas susulan penularan jangkitan varian Omicron COVID-19.