Sambut Aidilfitri penuh kesyukuran selepas memasuki Fasa Peralihan Endemik - Annuar

Bernama
Mei 1, 2022 23:37 MYT
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa mengajak umat Islam di negara ini menyambut Aidilfitri dengan penuh kesyukuran selepas negara kini memasuki Fasa Peralihan ke Endemik. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa mengajak umat Islam di negara ini menyambut Aidilfitri dengan penuh kesyukuran selepas negara kini memasuki Fasa Peralihan ke Endemik.
Beliau berkata hasil muafakat, kerjasama, kesabaran dan pelbagai ikhtiar yang dilakukan semua pihak, akhirnya rakyat berjaya untuk kembali kepada kehidupan yang hampir normal.
"Alhamdulillah, Aidilfitri kunjung tiba sekali lagi. Insya-Allah pada tahun ini, sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam suasana yang berbeza daripada dua tahun sebelum ini.
"Ini bermakna sambutan Hari Raya akan mempertemukan semula antara keluarga, boleh merentas sempadan, kita telah boleh menyempurnakan solat seperti mana dalam keadaan yang biasa. Ia satu nikmat, satu rahmat, hasil daripada kejayaan dan kemenangan bersama," katanya dalam video ucapan sempena Aidilfitri yang dimuat naik di Facebook Kementerian Komunikasi dan Multimedia hari ini.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi ciapan di Twitter rasminya pula seolah-olah memahami situasi dihadapi rakyat yang tidak menyangka Aidilfitri disambut esok (Isnin).
"Sah! Esok kita sambut Aidilfitri. Tapi mungkin ada yang masih dalam perjalanan pulang ke kampung. Mungkin ramai yang belum mula bakar lemang, masak ketupat serta rendang. Sama-samalah kita sibuk di dapur malam ini. Selamat #HariRaya #Aidilfitri. Maaf zahir dan batin!" katanya.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid menzahirkan rasa syukur kerana rakyat berkesempatan untuk pulang berhari raya di kampung pada lebaran ini selepas dua tahun tidak berkesempatan berbuat demikian.
"Pulang ke kampung halaman, ke pangkuan keluarga tercinta. Maka sempena hari lebaran yang bakal tiba, saya doakan seluruh rakyat Malaysia yang dikasihi selamat pulang ke kampung dan tempat asal kita. Selamat Hari Raya Aidilfitri," katanya.
Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah pula berkata sambutan Hari Raya tahun ini akan lebih meriah apabila sempadan negara dibuka dan aktiviti balik kampung dibenarkan.
"Sambutan lebaran tahun ini menjadi ruang untuk mengeratkan lagi hubungan setelah lama terpisah demi keselamatan dan kesihatan kita semua," katanya menerusi Twitter.
Selain itu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique mengambil kesempatan memohon maaf sempena Hari Raya Aidilfitri.
"Di kesempatan ini saya dengan penuh rasa tawaduk di hati, ingin menyusun jari nan sepuluh memohon ampun, kemaafan zahir dan batin atas segala kekhilafan kata, lajak perbuatan dan kekurangan diri. Taqabbalallahu Minna Wa Minkum," katanya.
-- BERNAMA
#Aidilfitri #Umat Islam #Fasa Peralihan Ke Endemik #Menteri Komunikasi dan Multimedia #Annuar Musa
;