Sambut Aidiladha dengan pengisian bermanfaat - Wan Azizah
Bernama
Ogos 21, 2018 04:00 MYT
Ogos 21, 2018 04:00 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru umat Islam di Malaysia menyambut Aidiladha dengan pengisian bermanfaat seperti menyambung silaturrahim dan persaudaraan serta meningkatkan kepedulian terhadap masyarakat setempat yang menjadi tanggungjawab bersama.
Beliau berkata Aidiladha menuntut umat Islam bermuhasabah terhadap peranan dan kepedulian sebagai seorang hamba, anggota masyarakat dan juga pemimpin.
"Masing-masing (perlu) berganding bahu untuk melaksanakan tanggungjawab selaras dengan posisi masing-masing. Penghayatan terhadap sejarah dan peristiwa Aidiladha mampu memandu dan memimpin hala tuju hidup seseorang individu dan kebangkitan sesebuah negara," katanya dalam perutusan Aidiladha, pada Selasa.
Dr Wan Azizah turut menyeru umat Islam di negara ini memperbanyakkan sedekah kepada mereka yang memerlukan serta menjaga kesihatan terutama ketika menikmati hidangan yang lazat pada hari perayaan.
"Berpada-padalah dalam mengambil juadah serta berhati-hati di jalan raya. Kita mahu Aidiladha ini meninggalkan kenangan yang indah seiring ibadah.
"Jangan ia menjadi memori pahit yang menyayat hati," katanya.
-- BERNAMA
#Aidiladha
#berhati-hati di jalan raya
#hari perayaan
#pengisian bermanfaat
#Timbalan Perdana Menteri
#Wan Azizah