Samarahan kini zon hijau, tiada kes positif terbaharu di Sarawak

Syafik Shukri Jalil
Jun 20, 2020 16:37 MYT
Menerusi kenyataan dikeluarkan JPBNS, Sarawak hari ini juga tidak mencatatkan sebarang kes positif terbaharu menyaksikan jumlah kes positif setakat ini kekal dengan 566 kes.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini mengumumkan daerah Samarahan sebagai zon hijau terbaharu COVID-19 di negeri itu.
Ia selepas daerah tersebut tidak mencatatkan sebarang kes positif terbaharu selama 14 hari daripada kes terakhir yang dicatatkan sebelum ini.
Ini menyaksikan peningkatan jumlah zon hijau di negeri Bumi Kenyalang dengan 38 daerah manakala Kuching dan Bintulu masih dikategorikan sebagai zon kuning.
Menerusi kenyataan dikeluarkan JPBNS, Sarawak hari ini juga tidak mencatatkan sebarang kes positif terbaharu menyaksikan jumlah kes positif setakat ini kekal dengan 566 kes.
“Dimaklumkan juga tiada kes baharu yang dilaporkan sembuh dan discaj dari hospital pada hari ini,” ujar kenyataan sama.
Ini menjadikan jumlah kes positif yang telah sembuh dan discaj kekal 535 kes atau 94.52 peratus.
Manakala terdapat 21 kes Person Under Investigation (PUI) baru dilaporkan dan satu kes masih menunggu ujian makmal.
#AWANI Sarawak #Bintulu #COVID-19 #JPBNS #Kuching #Person Under Investigation #Samarahan #Sarawak #zon hijau #zon kuning
;