Samarahan daerah terbaharu dilanda banjir di Sarawak

Astro Awani
Februari 4, 2021 10:16 MYT
Keadaan banjir di Kampung Lubok Buntin, Samarahan yang dirakam pagi ini. -Foto APM Sarawak
KUCHING: Samarahan menjadi daerah terbaharu dilanda banjir gelombang ketiga banjir di Sarawak.
Sejumlah 10 penduduk daripada dua keluarga dari dua kampung di daerah itu dipindahkan sejak awal pagi tadi.
Mereka ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Masyarakat Lubuk Buntin.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan mangsa meningkat kepada 150 orang pagi ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan dua Kampung yang terjejas banjir di Samarahan ialah Kampung Lubok Buntin dan Kampung Benat.
Sementara itu di Serian, 32 mangsa daripada enam keluarga di daerah itu adalah dari Kampung Slabi Entukuh, kira-kira 70 km dari bandar raya Kuching.
Mereka kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di dewan kampung berkenaan.
Kediaman 23 lagi mangsa daripada lima keluarga dari Kampung Tebakang Melayu Serian, 72 km dari Kuching, turut dinaiki air dan memaksa mereka dipindahkan ke PPS di Dewan Sekolah Kebangsaan Tebakang, yang telah beroperasi sejak pukul 4 petang semalam.
Di Song seramai 77 mangsa banjir daripada 27 keluarga dari Rumah Panjang Kulleh, Nanga Embuau di daerah Song, kira-kira 110 km dari bandar Sibu, kekal di PPS SK Nanga Embuau yang diduduki mereka sejak Selasa lepas.
Manakala di daerah Tatau, sekitar 60 km dari bandar Bintulu, seramai lapan mangsa daripada dua keluarga dari Kampung Dagang Tatau masih ditempatkan.
#banjir #Sarawak #PPS #Kuching #Bintulu #Sibu #Samarahan #Song #Serian #mangsa banjir #sekolah #mangsa #pusat pemindahan #keluarga #Tatau
;