Saman trafik pertama babitkan Pokemon Go di Malaysia
Astro Awani
Ogos 7, 2016 19:45 MYT
Ogos 7, 2016 19:45 MYT
Seorang peniaga menjadi penerima saman pertama di negara ini, kerana menggunakan telefon bimbit sambil bermain Pokemon Go.
Lapor media hari ini, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan anggota Polis Trafik ketika memandu di Jalan Stadium, Kuantan, kira-kira jam 11 pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superintendan Mohd Noor Yusof Ali, berkata lelaki ditahan kerana melakukan kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
Ketika ditahan dia sedang bermain permainan realiti digital Pokemon Go.
Saman dikeluarkan atas kesalahan memandu sambil menggunakan telefon bimbit.
Difahamkan, ahli perniagaan itu sedang mengimbas karektor raksasa digital di sepanjang laluan berkenaan sebelum perbuatannya itu disedari anggota polis.
Sementara itu menteri pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengingatkan agar pengguna tidak bermain permainan itu ketika memandu.