Saman Sivil: Keluarga Kugan menang gantirugi RM851,700

T K Letchumy Tamboo
Jun 26, 2013 17:59 MYT
Mahkamah tinggi hari ini menganugerahkan gantirugi sebanyak RM851,700 kepada anggota keluarga A. Kugan yang menyaman kerajaan dan polis dalam satu kes saman sivil berhubung kematian mendiang dalam tahanan polis.
Hakim Mahamah Tinggi Datuk V.T Singham memberi award itu kepada Indra bagi ganti rugi serangan dan memukul, penjara palsu, misfeasans, kesakitan dan penderitaan.
Singham juga memerintahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar (yang ketika itu Ketua Polis Selangor), bekas polis konstabel V. Navindran, bekas Ketua Polis Subang Jaya ACP Zainal Rashid Abu Bakar (yang telah meninggal dunia), ketua polis negara dan kerajaan untuk membayar RM50,000 sebagai kos.
Hakim, Datuk V.T. Singham berkata mahkamah mendapati kesemua responden termasuk Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bersalah.
Dalam keputusan pentingnya, Hakim Singham mendapati plaintif telah membuktikan tuntutannya terhadap defendan-defendan.
Hakim Singham juga berkata keterangan yang dikemukakan bagi pihak defendan tidak konsisten dan tidak boleh dipercayai terhadap pentingnya keseluruhan keterangan.
"Mahkamah juga mendapati beberapa material yang ketara percanggahannya antara Khalid dan saksi defendan berhubung siasatan atas kematian itu.
"Tiada seorangpun dalam mana-mana jawatan atau pangkat apabila memberi keterangan di mahkamah supaya jangan memandang remeh terhadap mahkamah dan cuba menghalang kebenaran untuk mengelak daripada liabiliti," katanya.
Beliau juga berkata Khalid bertanggungjawab berhubung kesalahan yang dilakukan dalam kes ini.
"Kematian semasa dalam tahanan adalah jenayah serius. Oleh itu, sebaik sahaja ia dilaporkan, pihak berkuasa tertinggi polis perlu bertindak segera.
"Mereka perlu memastikan siasatan dijalankan segera oleh agensi siasatan bebas atau sekurang-kurangnya mencadangkan satu inkues," katanya.
Pada 13 Jan, Indra selaku pentadbir harta pusaka Kugan, menamakan Khalid sebagai defendan pertama, Navindran sebagai defendan kedua, diikuti Zainal Rashid, Ketua Polis Negara dan kerajaan.
#A. Kugan #Datuk V.T. Singham #kematian dalam tahanan
;