Saman RM60 juta: "Cubaan untuk menghalang pendedahan saya" - Husam Musa

Vivi Sumanti
Jun 27, 2022 14:02 MYT
Husam menegaskan, beliau tidak akan berganjak dalam usahanya menjaga kepentingan rakyat dan negeri Kelantan serta memastikan semua pihak yang terlibat di bawa ke muka pengadilan. - Gambar fail
KOTA BHARU: Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa mengarahkan peguamnya memfailkan permohonan untuk mengenepikan saman yang dikemukakan oleh Syarikat Al Dar Resources dan pemiliknya.
Ini kerana, menurut Husam, tuntutan saman itu disifatkannya sebagai penyalahgunaan proses mahkamah dan cubaan untuk menghalang terdedahnya kegiatan yang menyalahi undang-undang terhadap pihak yang masih belum ditentukan terlibat dalam kes kecurian balak di kompartmen 25 Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri.
Tindakan saman itu juga, tegas beliau, adalah pra-matang memandangkan siasatan oleh Jabatan Perhutanan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) ke atas isu tebangan balak secara haram di kompartmen 25 dan 26 HSK Nenggiri bersebelahan dengan kawasan kerja Plaintif adalah belum lagi konklusif.
"Saya hanya menerima writ saman dari Tetuan Syazwan Hasim & Azeel Eskandar yang mewakili Encik Mohd Haffiz Mohd Rasdin pada petang 26 Jun 2022, melalui serahan tangan kepada pembantu rumah saya.
"Saya telah mengarahkan peguam saya memfailkan permohonan untuk mengenepikan saman ini kerana ia merupakan penyalahgunaan proses mahkamah dan cubaan untuk menghalang terdedahnya kegiatan yang menyalahi undang-undang pihak yang masih belum ditentukan terlibat dalam kes kecurian balak di kompartmen 25 HSK Nenggiri," jelas Husam dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut Husam, saman yang dikemukakan itu merupakan satu gangguan terhadap tugas-tugas beliau sebagai pemimpin masyarakat dalam menjalankan tugas melindungi kepentingan awam.
“Saman itu juga boleh disifatkan menggantung diri sendiri oleh plaintif dan boleh menjadi pisau dua mata.
"Insya-Allah saya bertanggung jawab di atas dakwaan dan pertanyaan saya berkaitan kes kecurian balak di kompartmen terbabit, termasuk dua rencana yang dirujuk," tambah Husam lagi.
Berikutan tuntutan saman itu juga, Husam menegaskan, beliau tidak akan berganjak dalam usahanya menjaga kepentingan rakyat dan negeri Kelantan serta memastikan semua pihak yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.
Dalam perkembangan sama, kata beliau, penulisannya yang dirujuk dalam saman berkenaan sama sekali tidak bersifat fitnah ke atas plaintif.
Beliau berkata, sehingga kini, tiada sebarang kenyataan penafian oleh Kerajaan Negeri atau agensinya mengenai pemberian kontrak pembalakan, perlombongan dan pemaju Bandar Perabot di mana Plaintif mempunyai kepentingan atau mendapat manafaat.
"Menjadi amalan dalam sistem demokrasi berparlimen atau Dewan Undangan Negeri untuk pihak-pihak yang berkaitan dengan tanggung jawab awam memberikan makum balas atas pertanyaan, kritikan dan urusan berkaitan kepentingan awam.
" Maklum balas terhadap sesuatu isu yang dibangkitkan membolehkan urusan kepentingan awam tidak diabai, diselewengkan atau tidak menepati kepentingan awam secara umum.Dengan itu juga, pertikaian awam dapat dielakkan" katanya lagi.
Husam berkata demikian sebagai memberi reaksi terhadap saman yang dikemukakan syarikat Al Dar Resources Sdn Bhd dan pemiliknya yang memfailkan dua saman terhadapnya, menuntut ganti rugi RM60 juta atas dakwaan mengeluarkan kenyataan fitnah berhubung isu pembalakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri, Gua Musang.
Dua saman itu dibuat oleh plaintif, Al Dar Resources yang menuntut ganti rugi RM50 juta dan pemilik syarikat berkenaan, Mohd Haffiz Mohd Rasdin yang menuntut ganti rugi RM10 juta.
Tuntutan saman terbabit dibuat menerusi Tetuan Syazwan Hasim & Azeel Eskandar di Mahkamah Tinggi pada Selasa lalu dengan menamakan Husam Musa sebagai defendan.
Peguamnya, Azeel Eskandar Azmi berkata, saman terbabit dibuat susulan dua kenyataan yang dikeluarkan oleh Husam menerusi Facebook pada 3 dan 6 Jun lalu, yang disifatkan memfitnah syarikat anak guamnya.
#Husam Musa #pembalakan #HSK Nenggiri #saman RM60 juta
;