Saman: Rafizi teruja pertahankan kenyataan di mahkamah

Astro Awani
April 17, 2015 16:25 MYT
RAFIZI: Saman tersebut adalah lanjutan daripada satu surat tuntutan yang dihantar pada 4 Disember 2014 lepas.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Rafizi Ramli yang berdepan saman fitnah oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menyatakan bahawa dirinya teruja untuk mempertahankan kenyataannya di mahkamah.
“Saya baru mendapat tahu bahawa satu saman telah difailkan terhadap saya oleh Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah berkenaan satu kenyataan saya.
“Saya teruja untuk mempertahankan kenyataan saya di mahkamah. Semasa saya mendapat surat tuntutan dalam bulan Disember lepas, saya ada membincangkan kemungkinan saman ini dibawa ke mahkamah,” ujarnya.
Tambah Ahli Parlimen Pandan itu, peguam-peguamnya juga bersedia untuk menyoal balas Najib dan Rosmah di mahkamah nanti.
Rafizi bagaimanapaun memberitahu, dia belum mendapat apa-apa dokumen atau pengesahan mengenai saman tersebut, namun yakin ia adalah lanjutan daripada satu surat tuntutan yang dihantar kepadanya pada 4 Disember 2014 lepas.
“Saya percaya ini sebahagian dari usaha untuk menakut-nakutkan pimpinan Pakatan Rakyat. Saya akan terus bersuara dan tidak takut dengan tindakan-tindakan mahkamah seperti ini,” ujarnya.
Pada Khamis, Najib dan Rosmah memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi dan pemilik portal 'Media Rakyat' Chan Chee Kong berhubung isu subsidi minyak menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi.
ARTIKEL BERKAITAN: Najib dan Rosmah saman Rafizi kerana memfitnah
#Naib Razak #Rafizi Ramli #Rosmah Mansor #saman
;