Saman Najib: Anina fail permohonan gantung pendengaran kes
Hafiz Marzukhi
Oktober 6, 2015 15:57 MYT
Oktober 6, 2015 15:57 MYT
Bekas pemimpin Wanita UMNO Langkawi Anina Saadudin hari ini memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menggantung pendengaran membatalkan writ saman yang dipohon Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau memohon penggantungan sehingga kes saman yang difailkannya terhadap Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung pemecatannya sebagai anggota parti itu diputuskan.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah, yang mewakili Anina, berkata mahkamah perlu membuat keputusan mengenai status Anina dalam parti tersebut terlebih dahulu.
"Ini atas sebab pihak satu lagi (Najib)telah mendakwa Anina tidak mempunyai locus standi semasa memfailkan writ saman.
"Jadi biarlah mahkamah yang mendengar permohonan Anina terhadap Tengku Adnan didengar terlebih dahulu," kata Haniff.
Beliau berkata mahkamah menetapkan Isnin ini untuk pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab.
Pada 1 Okt, mahkamah membenarkan permohonan Najib untuk menggantung kesemua prosiding saman yang difailkan Anina.
Sebelum ini, pada 28 Ogos, Anina telah memfailkan saman terhadap Najib dan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Ab. Rauf , antaranya bagi menuntut pembayaran RM2.6 bilion (US$650 juta).
Dana it didakwa dimasukkan oleh Najib ke dalam satu akaun bank bukan milik UMNO di Singapura.