Saman media atau tidak, itu hak Shabudin - Rohani

Rahimah Abdullah
April 8, 2017 17:10 MYT
ROHANI: Semasa beliau (Shabudin) bertugas sebagai hakim syarie, beliau melihat banyak kelompongan.
Tindakan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya sama ada untuk menyaman atau sebaliknya pihak media berhubung isu perogol berkahwin dengan mangsa adalah hak peribadinya.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim menyifatkan bekas hakim Mahkamah Syariah itu sebagai seorang individu yang sangat teliti dalam memberi kenyataan atau hujah.
Pada masa sama, Shabudin memberi sokongan penuh kepada Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
"Jadi apa yang dia katakan ialah dia sangat menyokong RUU itu, Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, sebab masa tugas dia sebagai (hakim) syarie dia nampak kelompongan.
"Kenyataan dia bukan mengenai budak 9 tahun boleh kawin. Tapi dia sangat teliti. Kalau dia nak ambil tindakan, hansard (transkrip di Parlimen) tak menipu," katanya semasa sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Seminar Kebangsaan Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kebangsaan Malaysia (MAKPEM) 2017 'Social Protection and Sustainable Development - Empowering Older Persons' di sini hari ini.
Jelasnya, beliau tidak bermaksud untuk berpihak kepada mana-mana individu, namun mengenali Shabudin, bekas hakim syariah itu dilihat suka memberikan banyak contoh dalam penghujahannya.
"Saya rasa dia nak mengambil tindakan kerana dia rasa dia tidak diberi keadilan dari ucapannya. Sebenarnya dia menceritakan pengalamannya sebagai bekas hakim. Jadi, dia berdepan (dengan) semua yang dia cerita itu.
"Jadi, dia ini sedikit teliti sehingga orang sudah salah anggap padanya. Dia bukan cakap dia mahu cara begitu. Dia sangat menyokong undang-undang yang dibentangkan iaitu RUU Jenayah Seksual Ke atas Kanak-kanak sebab masa dia bertugas dulu, dia nampak kelompongan," tambahnya.
Pada Jumaat, Shabudin berkata beliau mungkin menyaman media terlibat kerana didakwa memutar-belitkan ucapannya semasa perbahasan RUU Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak di Dewan Rakyat awal minggu ini.
#Dewan Rakyat #jenayah #Kanak-kanak #mahkamah #Rohani Abdul Karim #saman #Shabudin Yahaya #syariah #undang-undang
;