Saman fitnah: Sanusi minta Mahfuz rujuk peguam

Sinar Harian
Mei 2, 2023 18:55 MYT
Sanusi (kanan) sifatkan tindakan Mahfuz sebagai mencari publisiti murahan berikutan sejak awal kes itu diuruskan oleh kedua-dua peguam yang dilantik. - Gambar fail
ALOR SETAR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar diminta merujuk kepada peguam untuk proses pembayaran kes saman fitnah, bukannya meminta secara terus menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman sosial.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan tindakan Mahfuz itu sebagai mencari publisiti murahan berikutan sejak awal kes berkenaan diuruskan oleh kedua-dua peguam yang dilantik.
Menurutnya, semua urusan berkaitan termasuk pembayaran terhadap tuntutan Mahfuz sebanyak RM120,000 akan diuruskan oleh peguam.
“Semua urusan berkenaan dengan saman, afidavit atau pembelaan semua peguam uruskan, bukan saya berurusan secara terus dengan dia.
“Daripada awal lagi proses ini diurus antara peguam saya dan peguam Mahfuz, daripada bicara kes sampai selesai. Jadi tak betul lah kalau tentang bayaran Mahfuz cuba bertindak sendiri,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.
Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah turut menasihatkan Mahfuz agar bersabar kerana proses membabitkan guaman kebiasaannya mengambil masa.
“Nasihat saya sabarlah dan rujuk kepada peguam. Saya akan minta peguam saya uruskan pembayaran dan ia akan diuruskan antara peguam saya dengan peguam Mahfuz, bukan Sanusi dan Mahfuz,” ujarnya dengan nada sinis.
Muhammad Sanusi turut menempelak tindakan Mahfuz meminta bayaran RM120,000 menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman twitter, dengan menyifatkan ia sebagai cubaan untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap dirinya.
“Saya rasa cara berpolitik seperti itu macam tahun 60-an, tak sesuailah zaman sekarang orang cerdik menilai,” katanya lagi.
Pada 23 April, bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu mengingatkan Muhammad Sanusi agar membayar ganti rugi sebanyak RM120,000 seperti diputuskan Mahkamah Rayuan Putrajaya susulan Muhammad Sanusi belum melunaskan tuntutan tersebut walaupun tempoh pembayaran ditetapkan 14 hari daripada proses penghakiman.
Rentetan itu, Mahfuz tidak menolak kemungkinan menaikkan tuntutan daripada RM120,000 kepada RM240,000 sekiranya tiada sebarang tindakan susulan dibuat oleh Muhammad Sanusi.
Pada 3 April, Muhammad Sanusi gagal dalam rayuan saman fitnah yang difailkan Mahfuz, sebaliknya permohonan Mahfuz untuk menaikkan jumlah bayaran ganti rugi diluluskan daripada RM50,000 kepada RM120,000.
Mahfuz memfailkan saman pada 9 Oktober 2019 berdasarkan hantaran dibuat Muhammad Sanusi melalui akaun Facebook pada 30 Julai 2019, yang mengaitkan Ahli Parlimen Pokok Sena itu dalam isu pemindahan premis judi Sport Toto ke kawasan itu.
*Artikel asal disiarkan di Sinar Harian
#Mahfuz Omar #Muhammad Sanusi Md Nor #pembayaran kes #saman fitnah
;