Saman fitnah: Rosmah peroleh penghakiman ingkar terhadap pemilik akaun TikTok

Bernama
Mei 28, 2024 17:30 MYT
Rosmah yang memfailkan saman itu pada 19 Sept 2023, mendakwa Ku Muhammad Hilmie memuat naik satu rakaman video di akaun TikTok milik defendan yang mengandungi kenyataan berunsur fitnah. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor hari ini memperoleh penghakiman ingkar terhadap seorang pemilik akaun TikTok dalam kes saman fitnah yang dikemukakan oleh isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu di Mahkamah Tinggi di sini.
Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Rosmah, 72, selaku plaintif selepas Ku Muhammad Hilmie Ku Din, 34, yang dinamakan sebagai defendan, gagal memasukkan memorandum kehadiran untuk menjawab saman berkenaan pada tarikh ditetapkan.
Bagaimanapun, ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan akan ditaksir kemudian oleh mahkamah.
Prosiding itu dihadiri peguam Sureshmurti Ramani dan Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili Rosmah.
Rosmah, yang memfailkan saman itu pada 19 Sept 2023, mendakwa Ku Muhammad Hilmie memuat naik satu rakaman video di akaun TikTok milik defendan yang mengandungi kenyataan berunsur fitnah dan tidak benar terhadap plaintif pada 22 Mac 2023.
Rosmah mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau melakukan perbuatan berdosa, dikaitkan dengan aktiviti melibatkan syaitan, bomoh serta seorang individu yang jahat dan mengamalkan perbuatan syirik.
Beliau mendakwa kenyataan fitnah itu memprejudiskan reputasinya selaku isteri Perdana Menteri Malaysia keenam dan penaung badan-badan amal di negara ini yang dikenali umum.
Rosmah mendakwa akibat kenyataan fitnah itu, beliau dipandang serong oleh orang awam, dicemuh dan dihina sekali gus mencemarkan reputasinya selaku figura yang dikenali oleh masyarakat umum.
Sehubungan itu, beliau menuntut antara lain ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta perintah yang dianggap sesuai oleh mahkamah.
-- BERNAMA
#Rosmah Mansor #saman fitnah #pemilik akaun TikTok #Ku Muhammad Hilmie Ku Din #ganti rugi am
;