Saman fitnah: KPN fail prosiding komital terhadap Papagomo

Bernama
Januari 31, 2025 12:50 MYT
Pada 10 Jan, mahkamah mengeluarkan perintah injunksi melarang Wan Muhammad Azri (kiri) daripada menyiarkan kenyataan fitnah di semua platform media sosial yang ditujukan kepada Razarudin (kanan), sehingga perbicaraan kes itu diputuskan mahkamah.
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran mahkamah untuk memulakan prosiding komital terhadap blogger Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris.
Permohonan itu berhubung kes saman RM3 juta yang difailkan Razarudin selaku plaintif terhadap Wan Muhammad Azri sebagai defendan atas dakwaan memfitnah yang turut membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berdasarkan notis permohonan ex-parte yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 24 Jan, plaintif memohon kepada mahkamah untuk perintah komital dikenakan terhadap defendan kerana menghina mahkamah, ekoran tidak mematuhi perintah injunksi pada 10 Jan dengan membuat hantaran terhadap Razarudin di media sosial.
Plaintif mendakwa, pada 14 Jan defendan telah mengadakan siaran langsung melalui akaun media sosialnya iaitu Youtube (Sir Azri), Tiktok (Azri Brotherhood) dan X (Sir Azri) pada 10 malam, yang defendan menerbitkan, menyiarkan atau membuat komen atau rujukan kenyataan fitnah terhadap plaintif secara terang dan nyata sebagai Ketua Polis Negara.
Menurut Razarudin defendan juga telah menerbitkan, menyiarkan atau menyebabkan penyiaran atau penerbitan gambar plaintif yang telah disunting menjadi seperti imam atau tok kadi melalui akaun Telegram (Sir Azri) defendan dengan kapsyen 'Datuk Nikah Kahwin' pada 15 Jan.
Pada 10 Jan, Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah injunksi bagi melarang dan menghalang Wan Muhammad Azri atau wakilnya daripada menerbit atau menyiarkan kenyataan fitnah di semua platform media sosial yang ditujukan kepada Razarudin, sehingga perbicaraan kes saman itu diputuskan oleh mahkamah.
Selain itu, mahkamah turut mengeluarkan perintah injunksi yang melarang dan menghalang defendan atau wakilnya daripada menerbit atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan, video dan status serta komen atau sebarang bentuk rujukan kepada plaintif.
Kenyataan, video status serta komen itu berkenaan kedudukan Razarudin sebagai Ketua Polis Negara dan secara peribadi secara bertulis, lisan sama ada secara dalam talian di platform media sosial dan melalui aplikasi pesanan ringkas, seperti Telegram dan WhatsApp.
Wan Muhammad Azri juga diperintahkan menarik balik, menurunkan dan memadamkan penerbitan siaran video di YouTube, TikTok, Facebook, Telegram dan X miliknya bertarikh 14, 15, 20 dan 22 Dis yang mengandungi kenyataan fitnah terhadap Razarudin.
Sementara itu, Peguam Raam Kumar yang mewakili Razarudin mengesahkan mengenai permohonan prosiding komital itu dan memaklumkan ia akan didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong pada 10 Feb ini.
"Sekiranya mahkamah membenarkan prosiding komital tersebut, pihak kami akan menyerahkan notis permohonan itu kepada pihak defendan," katanya ketika dihubungi pemberita.
-- BERNAMA
#Razarudin Husain #Papagomo #prosiding komital #perintah injunksi #saman fitnah #hina mahkamah
;