Saman fitnah isu 1MDB: Mahkamah dengar 24 Julai permohonan Najib
Bernama
Jun 17, 2015 22:27 MYT
Jun 17, 2015 22:27 MYT
Datuk Seri Najib Razak memfailkan permohonan untuk memadamkan beberapa perenggan dalam afidavit sokongan yang difailkan anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee dalam saman fitnah berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Nor Emelia Iszeham, yang mewakili perdana menteri, memberitahu pemberita bahawa Najib memohon memadamkan perenggan itu kerana kenyataan fitnah yang dikeluarkan oleh Pua hanya dengar cakap dan bukan di bawah pengetahuannya (Pua).
Peguam itu berkata Najib juga memfailkan permohonan kedua iaitu untuk memadamkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan yang difailkan Chan Chee Kong, selaku defendan kedua atas alasan pembelaan itu bukan satu komen berpatutan.
Kedua-dua permohonan itu difailkan 25 Mei lepas.
Beliau berkata demikian selepas kes itu disebut di dalam kamar di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, K. Pavani.
Peguam Alliff Benjamin Suhaimi mewakili Pua selaku defendan pertama dan peguam Shahid Adli Kamarudin mewakili Chan.
Nor Emelia berkata mahkamah menetapkan 24 Julai ini untuk mendengar dua permohonan Najib itu.
Sementara itu, Alliff berkata mahkamah juga menetapkan tarikh yang sama untuk mendengar permohonan Pua bagi membatalkan saman fitnah yang difailkan Najib dan ketiga-tiga permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Vazeer Alam Mydin Meera.
Pada 8 Mei lepas, Pua memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Najib atas alasan perdana menteri itu tidak mempunyai 'locus standi' untuk memulakan tindakan saman terhadapnya dan mendakwa saman itu menyusahkan dan merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Najib, atas kapasiti peribadinya, memfailkan saman itu pada 5 Mac lepas dan menamakan Pua, 42, dan pemilik portal online Mediarakyat.net, Chan Chee Kong, 51.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Najib mendakwa pada 13 Nov tahun lepas, Pua sebagai seorang penceramah utama pada majlis makan malam Kutipan Dana DAP telah memberi ucapan berhubung isu 1MDB dan rakaman ucapan itu telah dimuat naik oleh defendan kedua sendiri atau ejennya di laman YouTube Mediarakyat dan laman web Mediarakyat.
Najib mendakwa perkataan-perkataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau telah merompak duit rakyat berkaitan urus niaga 1MDB dan oleh itu beliau adalah seorang yang tidak boleh dipercayai dan tidak layak memegang jawatan awam.
Najib, yang juga Presiden UMNO, berkata penerbitan perkataan-perkataan fitnah itu telah merosakkan reputasinya kerana rakaman ucapan itu boleh diakses secara meluas dan mudah di seluruh dunia melalui internet, blog, forum dan laman web tanpa sebarang sekatan dan boleh dikongsi semula.
Sehubungan itu, beliau menuntut ganti rugi am, teladan, kos dan perintah injunksi bagi menahan defendan pertama dan kedua atau ejen-ejennya daripada menerbitkan lagi perkataan-perkataan fitnah itu terhadapnya.