Saman fitnah Ismail Sabri, Lokman Adam diarah fail pernyataan
Bernama
Oktober 11, 2022 14:41 MYT
Oktober 11, 2022 14:41 MYT
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini mengarahkan Datuk Lokman Noor Adam menjawab saman yang difailkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadapnya, hari ini.
Hari ini adalah tarikh akhir untuk Lokman memfailkan pernyataan pembelaan terhadap saman berhubung dakwaan menyiarkan kata-kata fitnah menerusi akaun media sosial.
Peguam Joshua Tan yang mewakili Ismail Sabri berkata anak guamnya juga perlu memfailkan jawapan terhadap pembelaan itu selewat-lewatnya pada 25 Okt.
"Mahkamah menetapkan 25 Nov ini untuk pengurusan kes selanjutnya," katanya ketika dihubungi Bernama selepas prosiding pengurusan kes hari ini secara dalam talian (e-Review) di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Haleez Hasnan.
Pada 12 Sept lepas, Ismail Sabri memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi supaya Lokman dengan serta-merta memadamkan kesemua video yang didakwa memfitnahnya di akaun media sosial.
Permohonan injunksi inter-parte (kedua-dua pihak) akan didengar pada 29 Nov ini.
Ismail Sabri, 62, selaku plaintif memfailkan saman itu atas kapasiti peribadinya menerusi pada 8 Sept lepas dengan menamakan Lokman, 49, sebagai defendan.
Dalam pernyataan tuntutan, Ismail Sabri mendakwa Lokman pada 22 Ogos lepas telah membuat kenyataan-kenyataan fitnah terhadap plaintif dalam satu video bertajuk "Bila Presiden UMNO Panggil Tak Datang! Tapi PM Ada Masa Jumpa Mahathir - Lokman Adam".
Naib Presiden UMNO itu berkata kenyataan-kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan plaintif dimuat naik menerusi empat akaun media sosial milik defendan iaitu YouTube 'Lokman Adam', Facebook 'Lokman Noor Adam Official', Instagram 'lokmannooradam' dan TikTok 'datoklokmanadam'.
Menurutnya, kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud plaintif telah berjumpa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan merancang atau berniat untuk merancang dengan bekas perdana menteri itu serta parti-parti politik lain yang bertentangan dengan UMNO untuk kekal sebagai perdana menteri dengan membelakangkan dan mengkhianati parti itu.
Ismail Sabri berkata beliau tidak pernah berjumpa Dr Mahathir dan parti-parti lain dengan membelakangkan atau mengkhianati UMNO untuk terus kekal sebagai perdana menteri.
Pada 1 Sept 2022, Lokman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan membuat hantaran jelik terhadap kerajaan dan Ismail Sabri.
-- BERNAMA