Saman AES turun kepada minimum RM150
Astro Awani
September 18, 2013 19:01 MYT
September 18, 2013 19:01 MYT
Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Berkaitan Pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) memutuskan kompaun saman sistem tersebut diturunkan kepada minimum RM150 berkuat kuasa serta-merta.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penurunan tersebut selaras kadar saman yang dikenakan Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan.
Bagaimanapun katanya, kadar saman itu bergantung kepada tempoh pembayaran saman dan kesalahan had laju yang dilakukan oleh pengguna jalan raya yang mana saman maksimum adalah RM300.
Pada masa sama, Hishammuddin berkata, kerajaan juga memutuskan mengambil alih sepenuhnya operasi AES daripada A.T.E.S dan Beta Tegap Sdn. Bhd. menerusi syarikat milik penuh di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan, AES Solutions Sdn. Bhd.
Pada bulan Julai, Hishammuddin berkata pemandu-pemandu yang dikenakan saman melalui AES masih perlu menjelaskan kompaun meskipun pendakwaan bagi kes AES telah ditangguhkan kerana notis yang dikeluarkan kepada pesalah trafik tersebut dibuat mengikut peruntukan undang-undang.
Pada bulan Disember 2012, Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk meneliti perkara berkaitan saman yang dikeluarkan melalui AES.
Langkah itu diambil berikutan kebimbangan yang dibangkitkan pihak tertentu berhubung undang-undang dan perkara teknikal, kata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patai
Pada bulan yang sama, JPJ menegaskan pemasangan 831 kamera AES di seluruh negara tetap diteruskan demi keselamatan pengguna jalan raya walaupun usaha itu ditentang sesetengah pihak.