Samakan Ratu Kaamatan dengan 'persembahan lembu eksotik', peguam minta maaf

Astro Awani
Jun 14, 2021 14:42 MYT
Ratu Kaamatan yang kini dikenali sebagai Unduk Ngadau adalah acara tradisi masyarakat Kadazandusun bagi mengenang cerita legenda pengorbanan Huminodun. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Marcel Jude Joseph, peguam kepada bekas pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang menghadapi lima pertuduhan mencabul kehormatan, memohon maaf kerana menyamakan pertandingan Ratu Kaamatan atau Unduk Ngadau dengan “persembahan lembu eksotik” dan “acara lelong”.
Kenyataan kontroversi itu dibuat Jude dalam nota penghujahan permohonan ikat jamin Phillip Among di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pada Khamis lalu. Ia kemudian tular di media sosial.
“Saya, Marcel Jude Joseph, dengan ikhlas dan sepenuh hati memohon maaf atas bahagian dalam penghujahan mahkamah yang menyinggung dan menyakitkan (hati pihak berkaitan).
“Maka di sini saya membuat permohonan maaf ikhlas ini kepada semua Unduk Ngadau di seluruh Malaysia, dari permulaan acara Ratu Kaamatan Unduk Ngadau sehingga ke 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jude turut memohon maaf kepada ahli jawatankuasa penganjur pertandingan Ratu Kaamatan dan perayaan itu pada tahun ini dan sebelumnya, semua pihak yang terlibat dalam penganjuran acara itu yang mula diperkenalkan pada 1960 serta orang Kadazandusun Sabah.
Dalam penjelasannya Jude berkata bahagian yang “menghina” Unduk Ngadau” itu tidak dibacakannya dalam prosiding mahkamah Khamis lalu.
Bagaimanapun katanya, dia tidak boleh menarik balik penghujahan bertulisnya kerana ia adalah res judicata, iaitu sebahagian daripada prosiding mahkamah.
“Perenggan yang menyinggung seperti didakwa Joanna Kitingan (Pengerusi Majlis Wanita Persatuan Kadazandusun (KDCA), dibuat atas tujuan perbicaraan di mahkamah. Ia tidak dibuat dengan sebarang niat jahat, provokasi atau untuk menyakitkan hati. Ia dibuat untuk membela anak guam saya.
Khamis lalu, mahkamah menetapkan ikat jamin RM8,000 untuk setiap pertuduhan ke atas Among yang mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan mencabul kehormatan seorang peserta Unduk Ngadau dan satu pertuduhan sama terhadap seorang wanita lain.
BACA: Bekas pemimpin STAR mengaku tidak bersalah cabul peserta Unduk Ngadau
#Marcel Jude Joseph #STAR #unduk ngadau #kaamatan #Pesta Kaamatan #Phillip Among #persembahan lembu eksotik #acara lelong #Mahkamah Majistret
;