A. Samad Said: Saya cari gelaran akhirat
Irwan Muhammad Zain
September 11, 2013 08:30 MYT
September 11, 2013 08:30 MYT
Beliau melangkah tenang di Kuala Lumpur Sentral. Sesekali ada yang menyapa beliau dan bersalam, malah ada yang minta untuk bergambar, beliau melayan dengan baik. Ke mana sahaja beliau pergi, selalunya situasi sama berlaku, disapa dan ada yang ingin dipotret bersama. Beliau melayan dengan baik setiap permintaan.
Kontroversi yang melanda tidak sedikit pun membuat beliau gusar. Sosok berusia 81 tahun itu tetap tenang. Rutin harian diteruskan. Dihambat kontroversi atau tidak, beliau tetap tenang, tetap pergi ke tempat-tempat yang sering dikunjungi. Sekarang menjelang waktu asar hingga Maghrib, setiap hari beliau boleh ditemui di Masjid Negara. Tidak sukar untuk mecari sosok seorang ini, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, bukan seperti yang digambarkan oleh pihak-pihak tertentu.
""Memang gelaran dunia itu tidak penting, saya sedang cari gelaran akhirat pula,"" katanya ketawa ketika menjawab soalan mengenai desakan beberapa pihak supaya gelaran yang dianugerahkan kepadanya pada tahun 1986 itu ditarik balik.
Pak Samad menegaskan bukan satu masalah besar untuk mengambil balik gelaran yang diberikan namun menolak cadangan Perkasa supaya menyerah kembali gelaran tersebut kerana beliau tidak mengiktiraf Perkasa.
"Ini soal mencabar saya menarik balik gelaran saya, mencabar saya untuk ditarik balik warganegara saya, untuk saya itu tidak menjadi soal.
"Kalau mereka memang mempunyai bukti, mereka mempunyai jalan halal, ya lakukan tapi untuk menyuruh saya mengembalikan yang macam dibuat oleh Perkasa, saya fikir itu tidak adil, apa lagi saya tidak mengiktiraf Perkasa," katanya kepada Astro Awani.