Salur maklumat kanak-kanak perempuan hilang di Talian Kasih - Exco

Bernama
Julai 22, 2024 14:50 MYT
Khairin-Nisa Ismail@Md On berkata maklumat itu juga, boleh disalurkan melalui aplikasi Whatsapp di talian 019-2615999 atau Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah berdekatan. - Gambar fail/Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di sebuah pusat beli-belah di Iskandar Puteri, Sabtu lepas kepada Talian Kasih 15999.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor Khairin-Nisa Ismail@Md On berkata maklumat itu juga, boleh disalurkan melalui aplikasi Whatsapp di talian 019-2615999 atau Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah berdekatan.
Beliau berkata orang ramai turut boleh menghubungi balai polis berdekatan atau talian khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri 019-2792095 atau Talian Bilik Gerakan 07-2212999.
"Kerajaan negeri di bawah Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor telah mengarahkan semua agensi di bawah jawatankuasa ini, untuk membuat hebahan berkaitan kehilangan kanak-kanak tersebut," katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata kerajaan negeri memandang serius isu kehilangan kanak-kanak itu dan menyeru ibu bapa atau penjaga serta orang awam agar lebih prihatin dan peka, dalam memastikan pemantauan dan keselamatan kanak-kanak diberi perhatian utama setiap masa.
Semalam, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M Kumarasan dilapor meminta bantuan orang ramai untuk mengesan Albertine Leo Jia Hui yang disedari hilang oleh bapanya di sebuah pusat beli-belah kira-kira 8.30 malam, Sabtu.
Kumarasan dipetik berkata kanak-kanak berketinggian lebih kurang 120 sentimeter, rambut panjang berwarna hitam, kulit cerah dan tubuh sederhana kurus itu, memakai kemeja T berwarna putih dengan gambar 'Mickey Mouse' pada bahagian dada dan berseluar pendek.
-- BERNAMA
#WhatsApp #Talian Kasih #pusat beli-belah #kemeja T