Salur dana kepada pengganas, lapan ditahan termasuk warga Filipina

Raja Hisyam Raja Zaid
November 16, 2018 11:45 MYT
Salah seorang suspek berusia 34 tahun dipercayai mempunyai kemahiran membuat senjata api untuk digunakan oleh kumpulan Abu Sayyaf di Selatan Filipina. - Foto PDRM
Polis Diraja Malaysia Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Berjaya menahan seorang rakyat tempatan dan tujuh warga Filipina yang dipercayai terlibat dengan kumpulan pengganas di Putrajaya dan Sabah dalam operasi yang dilancarkan pada 30 Oktober sehingga 12 November yang lalu.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini, rakyat tempatan yang diberkas itu berusia 38 tahun dan bekerja sebagai ejen menjual jongkong emas.
Beliau telah ditahan pada 30 Oktober lalu dan dipercayai terlibat dengan penyaluran dana kepada Akel Zainal yang menyertai gerakan pengganas kumpulan Daish.
Tujuh lagi warganegara Filipina ditangkap sekitar Sabah antara 1 November hingga 12 November 2018 dan dipercayai terlibat dengan kumpulan Abu Sayyaf (ASG) dan terlibat dalam aktiviti “Kidnapping For Ransom” (KFR).
Kebanyakan mereka bekerja sebagai buruh dan salah seorang suspek berusia 34 tahun dipercayai mempunyai kemahiran membuat senjata api untuk digunakan oleh kumpulan Abu Sayyaf di Selatan Filipina.
Kesemua suspek ditahan di bawah Bab Via-Kesalahan berkaitan dengan keganasan ,Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).
#Abu Sayyaf #API #Daesh #Filipina #GERAKAN #keganasan #keselamatan #Ketua Polis Negara #Malaysia #operasi #pengganas #polis #Polis Diraja Malaysia #Putrajaya #rakyat #suspek #terrorism
;