Salleh pertikai permohonan maaf Tun Mahathir

Bernama
Disember 30, 2017 06:00 MYT
SALLEH mempertikai Permohonan maaf Tun Dr Mahathir Mohamad di atas kesilapan dalam karier politiknya. - Gambar fail Bernama
Permohonan maaf Tun Dr Mahathir Mohamad di atas kesilapan dalam karier politiknya dipertikai oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Beliau merujuk kepada permohonan maaf bekas perdana menteri itu yang diungkapkan di penghujung ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Shah Alam semalam.
Dalam catatan blognya, Salleh berkata permohonan maaf Dr Mahathir seolah-olah lebih kepada memberikan alasan daripada meminta maaf.
"Ia berbunyi seperti kenyataan 'sebelum saya pergi...'dalam kata lain ia bukan isu yang penting hanya diselit masuk kerana beliau sudah berada di atas pentas berucap. Permohonan maafnya itu terlalu umum dan ia boleh bermaksud apa saja.
"Adakah Mahathir bercakap mengenai kerugian dagangan mata wang asing atau isu Maminco, isu pemenjaraan Anwar Ibrahim. atau Krisis Perlembagaan, atau Perwaja? Atau dia memohon maaf di atas segala kesilapan yang dilakukannya sepanjang 22 tahun sebagai perdana menteri," kata Salleh.
Dalam ucapan dasar itu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi PPBM berkata: "Sebelum saya akhiri ucapan ini, saya ingin pohon ampun dan maaf jika terkasar bahasa dan tersinggung perasaan sesiapa.
"Saya, seperti manusia lain tidak mungkin sunyi daripada berkata dan melakukan kesalahan bukan sahaja pada hari ini tetapi juga selama saya berkecimpung dalam politik."
Salleh berkata permohonan maaf yang ikhlas, ia perlu khusus , dan permohonan maaf perlu dinyatakan kepada pihak yang terkilan.
"Permohonan maaf seperti ini boleh dinafikan kemudian kerana ia kurang terperinci atau ia boleh bertukar untuk melindungi apa yang perlu dilindungi apabila diperlukan.
Bagaimanapun, ia lebih berbunyi seperti (Tun Dr) Mahathir memberikan alasan terhadap kesilapannya dengan mengatakan adalah lumrah bagi manusia untuk melakukan kesalahan - maka ia bermakna beliau tidak boleh dipersalahkan kerana beliau hanyalah manusia," kata menteri itu.
-- BERNAMA
#Maaf #Mahathir Mohamad #pertikai #PPBM #Salleh Said Keruak #Tun M
;