Saling hormat, kerjasama penting kukuhkan pentadbiran kerajaan negeri - Aminuddin

Bernama
Ogos 15, 2023 14:28 MYT
Aminuddin (kanan) mengimbas jari pada perakam waktu sistem pengurusan kehadiran sebagai simbolik memulakan tugas secara rasmi sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan di Pejabat Menteri Besar di Wisma Negeri, hari ini. -Bernama
SEREMBAN: Barisan exco yang bakal dilantik perlu saling menghormati dan bekerjasama selain berbincang secara dalaman sekiranya menghadapi sebarang masalah dalam pentadbiran kerajaan negeri, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau berkata perkara tersebut penting bagi memperkukuh kerajaan Negeri Sembilan sekali gus mengelakkan perkara meruntuhkan yang kestabilan negeri dan kesejahteraan hidup rakyat.
"Ini adalah masa untuk kita bekerja, memang kita datang daripada parti yang kita bawa apabila kita menang, tapi perlu ada perpaduan, jangan sampai tindakan kita keterlaluan dan menyebabkan kestabilan rosak, mesti ada pertimbangan luar biasa," katanya kepada pemberita selepas memulakan tugas rasminya sebagai Menteri Besar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas titah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir semalam bahawa terdapat pihak cuba menggugat kestabilan kerajaan pada penggal lepas tanpa sebarang sebab yang munasabah sebaliknya hanya bermotifkan kepentingan peribadi.
Titah baginda, tindakan itu tidak mendatangkan kebaikan malah menyebabkan pentadbiran negeri terjejas dan rakyat menjadi mangsa selain turut mengingatkan semua wakil rakyat untuk menyuarakan segala permasalahan serta keperluan mereka dalam merangka dan melaksanakan sesuatu dasar atau keputusan.
Aminuddin berkata titah Tuanku Muhriz itu menunjukkan baginda memberi perhatian serius tentang permuafakatan serta kestabilan kerajaan negeri dan tidak mahu melihat sebarang perpecahan atau perkara yang boleh mengakibatkan Negeri Sembilan porak-peranda.
"Tuanku ingin melihat kestabilan, meneruskan usaha (yang dilakukan sebelum ini). Tuanku sendiri melihat ada perubahan dari segi tata kelola, integriti dan pengurusan di peringkat kerajaan negeri,"katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata titah Tuanku Muhriz tersebut sangat tegas dan mesej disampaikan tepat berhubung cubaan menukar kerajaan selepas Langkah Sheraton pada penggal yang lepas.
"Tuanku tidak mahu melihat perkara itu berulang lagi, itu satu saranan yang cukup tegas dan jelas, semua pihak mestilah mematuhi saranan tersebut.
"Bagi saya itu adalah peringatan kepada semua pihak supaya kita bertanggungjawab membawa kestabilan politik kepada negara dan negeri," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah itu berkata Negeri Sembilan kini sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil dengan meraih majoriti selesa atas platform Kerajaan Perpaduan yang bentuk bersama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
"Apabila Tuanku telah membuat keputusan melantik Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar, semua ahli kerajaan negeri mestilah memberikan sokongan itu dan kita membantu sedaya-upaya menjalankan kerja untuk rakyat," katanya.
-- BERNAMA
#Aminuddin Harun #kestabilan politik #barisan exco #pentadbiran kerajaan negeri
;