Salikin Sidek simpan koleksi limar berusia 150 tahun
Bernama
Jun 7, 2024 12:00 MYT
Jun 7, 2024 12:00 MYT
KUALA LUMPUR: Mendengar namanya, mungkin tidak ramai yang mengetahui mengenai 'tenunan limar' berbanding tekstil songket lain, walhal ia sebenarnya adalah antara satu lagi khazanah kraf negara yang wajar dibanggakan serta dimartabatkan.
Apatah lagi, dengan nilainya yang begitu tinggi kerana kesukaran untuk menghasilkannya, limar yang menggunakan teknik ikat benang sutera, hakikatnya, suatu masa dahulu pernah popular dalam kalangan bangsawan serta kerabat diraja di Kelantan dan Terengganu.
Maka tidak menghairankanlah, apabila pereka fesyen terkenal tanah air, Salikin Sidek, 60, sanggup berbelanja lebih RM10,000 hanya semata-mata untuk memiliki koleksi limar paling 'tua' yang berusia lebih 150 tahun dalam simpanannya.
Menurut Salikin, teknik tenunan yang begitu halus selain ketelitian hasil kerja tangan dalam penghasilannya antara faktor yang menariknya untuk memiliki kain limar tersebut daripada seorang pengumpul teksil di Jogjakarta, Indonesia 10 tahun lalu.
"Kain limar bersongket ini mempunyai nilai sentimental sangat tinggi buat saya tambahan pula ia adalah peninggalan golongan bangsawan. Saya sebagai seorang yang memang minat untuk kumpul tekstil ini memang cari untuk dijadikan sebagai koleksi peribadi," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Pemilik Mahligai Salikin Sidek yang cukup dikenali dengan kepakarannya mereka baju tradisional itu berkata, cabaran utama sebagai pemilik adalah untuk mengekalkan dan memulihara kondisi kain warisan berkenaan agar kekal utuh dan tidak reput.
"Saya akan balut dan gulung kain limar itu dengan kain belacu sebab ia adalah (kain belacu) serat asli, tidak akan mengubah suhu kain kepada panas atau sejuk sebab kalau letak tempat panas dia akan mudah reput.
"Kemudian saya akan letakkannya dalam almari atau tempat bersih supaya tidak ada haiwan rosakkan kain kesayangan saya," katanya yang akan memantau koleksi kain dimilikinya sebulan sekali agar sentiasa dalam keadaan baik.
Salikin yang juga ahli jawatankuasa Pencinta Tekstil Malaysia (CITRA) berkata, bagi meneruskan tradisi tekstil tersebut, beliau kini menghasilkan kain limar baharu supaya ia boleh menjadi koleksi peribadinya yang dijangka akan mempunyai nilai lebih tinggi pada masa depan.
Salikin menambah, kain limar kini boleh dipakai oleh sesiapa sahaja yang berkemampuan dan tidak terhad bagi golongan bangsawan dan keturunan diraja sahaja.
"Apabila kita tenun yang baharu, kualitinya lebih baik daripada yang telah menjadi kain warisan. Walaupun baru ditenun kita masih boleh kekalkan ciri-ciri dan pembuatan asal demi menjaga identiti aslinya. Saya upah penenun dari Palembang, Indonesia dan dia boleh hasilkan kain limar asli yang baik selain mampu buat design (corak) lama.
"Nilai kain limar itu juga mengikut tempoh tertentu, kalau dah berusia 50 atau 100 tahun ke atas ia akan jadi semakin mahal," katanya sambil menambah, penjagaan rapi menjadi kunci ketahanan fabrik tersebut.
Katanya, harga limar bersongket secara keseluruhan kini sudah mencecah sekitar RM25,000 hingga RM100,000 memandangkan pembuatannya mengambil masa lebih lama sehingga enam bulan berbanding songket biasa yang hanya mengambil masa sekitar sebulan.
"Kesukaran menghasilkan limar bersongket ini memerlukan teknik ikat yang lebih halus, rapi dan rumit juga menyebabkan ia lebih mahal," katanya sambil menyifatkan kain limar itu adalah 'raja segala kain'.
-- BERNAMA