Salam terakhir Siti Aisyah, mangsa lemas tragedi "kepala air"

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 14, 2017 13:47 MYT
Suasana pilu menyelubungi anggota keluarga apabila mayat mangsa dikenali sebagai Siti Aisyah Kassim, lima, ditemui pada 4.20 petang semalam di Kampung Bukit Kemboja kira kira lapan kilometer dari lokasi kejadian. - Foto Bernama
Bagai mengetahui sesuatu bakal berlaku, mangsa lemas dalam tragedi “kepala air” Khamis lalu di Air Terjun Lubok Semilang, di sini, Siti Aisyah Kassim, 5, berkelakuan pelik dengan meminta untuk bersalaman dengan semua ahli keluarga, sebelum pergi buat selama-lamanya.
Siti Aisyah merupakan anak bongsu dari empat beradik yang berusia antara 5 hingga 23 tahun.
Ibunya, Mariam Abdul Rashid, 47, berkata, sungguhpun dia redha dengan kejadian itu, namun setiap kali terkenangkan kelakukan pelik Aisyah mereka sekeluarganya diselubungi rasa pilu.
BACA: Hampir pengsan sebaik tangan menyentuh mayat
BACA: Mangsa lemas ketiga, Anis Shahtirah ditemui
Katanya, pada hari kejadian, Aisyah mengalami demam namun diajak oleh kakak dan abangnya untuk mandi di situ.
"Masa dia demam, dia minta nak salam. Lepas hari itu, dia kata kakak dia nak bawa pergi air terjun.
"Aisyah kemudian menangis kata dia sayang ayah….dia tidak mahu pergi, namun kakak dia nak bawa, dia nak ajak kakak pergi tempat lain namun kakaknya enggan dengar," kata ibunya, Mariam Abdul Rashid.
Kakaknya, Nur Syuhada berkata, sebelum kejadian, dia melihat banyak ranting kayu turun bersama air terjun yang disusuli jeritan pengunjung lain meminta diselamatkan.
Namun, dia tidak tidak sempat berbuat apa-apa merasa terkilan kerana jika tidak mengajak adiknya ke sana, perkara itu tidak mungkin berlaku.
Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang Khamis, empat kanak-kanak, Qistina Puteri Wira, 11, Nor Aiman Wahidah Mohd Rosli, 11, Anis Shahtirah Saad, 11, dan Siti Aisyah Kassim, 5, lemas akibat dihanyut arus deras yang membadai di pusat rekreasi itu secara tiba-tiba.
Selepas hampir 24 jam pencarian, keempat-empat mangsa lemas berjaya ditemui.
#air terjun #kepala air #Langkawi #lemas #Lubok Semilang #mangsa #Mariam Abdul Rashid #Siti Aisyah Kassim
;