Salam akhir, Muhamad Haikal tatap jenazah ayah sebelum duduki peperiksaan SPM
Amirrul Rabbani
Februari 24, 2021 20:37 MYT
Februari 24, 2021 20:37 MYT
KUALA KANGSAR: Bukan mudah untuk menghadapi saat-saat pemergian orang yang disayangi namun itu yang harus ditempuhi seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru di sini.
Rakaman video Muhamad Haikal Iskandar, yang menatap wajah arwah ayahnya buat kali terakhir sebelum menduduki peperiksaan Sejarah Kertas Dua yang tular hari ini, nyata meruntun hati netizen.
Dia dilihat menangis menatap jenazah bapanya yang tiba di pekarangan dewan peperiksaan sebelum menduduki SPM.
Situasi itu dikongsi pengguna Facebook, Badariah Mohd Mohaidin yang juga guru kaunseling di sekolah tersebut.
“Menghampiri pukul 10 pagi untuk peperiksaan Sejarah Kertas 2. Van jenazah singgah ke sekolah. Seorang ayah yang sudah tidak bernyawa dibawa berjumpa anak buat kali terakhir.
“Semoga Allah memberikan kekuatan kepada Muhammad Haikal Iskandar untuk menjawab SPM (SMK Simpang Beluru),” kongsi Badariah dalam hantarannya.
Sehingga pukul 8 malam, hantaran itu sudah dikongsi lebih 5,000 pengguna dan mendapat sebanyak 2,000 tanda sedih.
Hantaran tersebut turut dikongsi laman Facebook Jabatan Pendidikan Negeri Perak.
Video berdurasi selama 58 saat menggunakan lagu ‘Salam Terakhir’ nyanyian Allahyarham Sudirman itu sememangnya mengundang reaksi sedih netizen.
Dalam laman sama, beberapa keping gambar Muhammad Haikal yang kelihatan sedang mengesat air mata dan ditenangkan guru sekolah berkenaan turut dikongsi.
Rata-rata lebih 1,000 pengguna laman sosial berkenaan mengucapkan takziah kepada Muhammad Haikal serta mendoakan agar pelajar tersebut tabah menghadapi dugaan dan mendapat keputusan cemerlang dalam SPM yang sedang dihadapinya.
#jenazah
#pelajar SPM
#jenazah bapa
#meruntun jiwa
#video viral
#Muhammad Haikal y
#Muhamad Haikal Iskandar
#tatap wajah arwah bapa
#peperiksaan
#SPM