Salahuddin setuju cadangan potong elaun MP tidak hadir

Bernama
Julai 24, 2018 06:31 MYT
SALAHUDDIN: Keadilan perlu diberikan kepada Ahli Parlimen untuk menjelaskan mengapa mereka yang tidak hadir persidangan Dewan Rakyat. - BERNAMA/Fail
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub, bersetuju dengan cadangan supaya elaun bulanan Ahli Parlimen yang gagal menghadiri persidangan Dewan Rakyat dipotong sekiranya ketidakhadiran mereka mengganggu perjalanan mesyuarat.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata tindakan itu boleh diambil jika Ahli Parlimen dengan sengaja tidak hadir tanpa satu alasan yang kukuh.
"Itu saya setuju, jika betul tanpa sebab kukuh saya rasa munasabah untuk parti mereka sendiri ambil tindakan. Kalau ada perancangan pemotongan elaun itu terpulang kepada peraturan Parlimen," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, pada Selasa.
Beliau mengulas status Twitter bekas menteri kebinet Tan Sri Rais Yatim yang menyatakan cara terbaik mengatasi masalah Dewan Rakyat tidak cukup korum adalah melalui potongan elaun bulanan Ahli Parlimen mengikut kadar arahan Jawatankuasa Pemilih Dewan.
BACA: Sidang Dewan Rakyat tertangguh, menteri, timbalan 'hilang'
Rais turut mencadangkan supaya nama-nama Ahli Parlimen yang disifatkannya sebagai 'malas' itu didedahkan di dalam akhbar dan media sosial.
Salahuddin, yang juga Ahli Parlimen Kulai, berkata keadilan perlu diberikan kepada Ahli Parlimen untuk menjelaskan mengapa mereka yang tidak hadir persidangan Dewan Rakyat.
"Jangan hanya keluar gambar Dewan (Rakyat) kosong, kita terus buat kesimpulan tetapi berilah peluang kepada mereka untuk menjelaskan mengapa mereka tak hadir, Dalam masa dua tahun ini mungkin kita boleh mengukur siapa yang sengaja tidak hadir, dari situ kita boleh ambil tindakan," katanya.
Persidangan Dewan Rakyat pada Selasa tertangguh seketika kerana tidak cukup kuorum. -- Bernama
#ahli Parlimen #Dewan Rakyat #elaun bulanan #Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani #Salahuddin Ayub
;