Salahuddin sentiasa bekerja keras, tak kira masa - Zahid
Sinar Harian
Julai 24, 2023 14:40 MYT
Julai 24, 2023 14:40 MYT
PONTIAN: "Beliau seorang yang sangat bekerja keras, tak kira masa."
Itu reaksi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika mengulas mengenai keperibadian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia, pada malam Ahad.
Menurut Ahmad Zahid, beliau sudah lama mengenali Salahuddin sejak Ahli Parlimen Pulai itu masih bersama Pas.
“Kami kenal dah lama... sejak (Salahuddin) dalam Pemuda Pas lagi... macam sahabatlah. Tapi bagi saya, beliau adalah seorang yang sangat bekerja keras.
“Malah, beliau bekerja tak kira masa dan beliau berada di mana-mana...antaranya dengan menyediakan Bakul Rahmah.
“Oleh itu, daripada kalangan golongan miskin tegar (B40) akan pasti teringat sumbangannya terhadap skim rahmah ini,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Kampung Serkat di sini, sempena urusan pengebumian Salahuddin pada Isnin.
Untuk rekod, Salahuddin, 62, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, pada jam 9.23 malam, pada Ahad setelah dikejarkan ke wad kecemasan HSB pada 10.15 malam Jumaat lalu bagi mendapatkan rawatan setelah mengalami mual dan muntah-muntah.
Keadaan Salahudidn kemudian dilaporkan stabil, namun beliau disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar sebelum menjalani pembedahan Sabtu lalu sebelum ditidurkan dan dipantau rapi di unit rawatan rapi (ICU).
Sementara itu, Ahmad Zahid yang turut menghargai konsep Bakul Rahmah diperkenalkan Allahyarham turut berharap kesinambungan itu diteruskan oleh penggantinya kelak. - Sinar Harian