Salahuddin: PR mampu menang 12 kerusi parlimen Johor

Irwan Muhammad Zain
Februari 22, 2013 23:00 MYT
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub yakin Pakatan Rakyat mampu memenangi 12 kerusi Parlimen di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti berdasarkan gerak kerja yang dilakukan oleh jentera pakatan itu sejak setahun yang lepas.
Beliau menjelaskan kajian yang dibuat oleh PAS dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat menunjukkan pengundi di 12 kawasan parlimen tersebut cenderung untuk menolak Barisan Nasional (BN) pada PRU-13.
"Saya tetap yakin Pakatan Rakyat boleh mencapai kejayaan di 12 kawasan parlimen. Itu keyakinan saya dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.
"Untuk perintah Johor itu pada saya satu bonus kalau ia diizinkan oleh Allah," katanya dalam satu temubual bersama Astro Awani di pejabat pentadbiran Harakah di sini.
Salahuddin merupakan pemimpin yang disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Johor sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menguasai kerusi Dewan Undangan Negeri.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menjelaskan 12 kawasan yang menjadi tumpuan Pakatan Rakyat itu melibatkan bahagian pantai barat Johor yang mempunyai komposisi kaum yang seimbang.
"Saya rasa di sebelah pantai barat yang mungkin komposisi kaum seimbang itu kita punya peluang yang agak baik," katanya.
12 kawasan yang disasarkan Pakatan Rakyat ialah Ledang, Bakri, Muar, Batu Pahat, Gelang Patah, Simpang Renggam, Segamat, Labis, Pontian, Tanjung Piai, Pulai dan Teberau.
Salahuddin menegaskan keyakinan itu juga diperolehi hasil penerimaan masyarakat setempat ketika beliau mengadakan program bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.
BN baru-baru ini menyenaraikan lima kerusi Parlimen sebagai kawasan panas melibatkan Kluang, Gelang Patah, Kulai, Segamat dan Bakri. Semua kawasan itu mempunyai keseluruhan 11 kerusi DUN.
Dalam pilihan raya 2008, BN menang 25 kerusi Parlimen manakala kalah hanya satu kerusi kepada DAP. Ia juga menang 50 kerusi DUN sementara PAS dan DAP masing-masing menang dua dan empat kerusi.
#Naib Presiden Pas #Pakatan Rakyat #PRU-13 #PRU13 #Salahuddin Ayub