Salahuddin pemimpin matang, tahap profesionalisme tertinggi - Gamis
Madiha Abdullah
Julai 24, 2023 12:44 MYT
Julai 24, 2023 12:44 MYT
KUALA LUMPUR: Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub disifatkan sebagai pemimpin yang mempunyai tahap kematangan, keprihatinan dan profesionalisme yang sangat tinggi.
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Wan Muhammad Arif Wan Fariz berkata, ia sangat jelas dilihat menerusi tindakan pantasnya menangani apa sahaja isu atau keluhan rakyat.
"Kami sepatutnya mengadakan pertemuan dengan Allahyarham pada Khamis ini untuk membincangkan isu peningkatan harga barangan asas, susulan petisyen yang kami gerakkan minggu lalu.
"Pemergian Allahyarham satu kehilangan sangat besar. Allahyarham adalah pemimpin yang berkeperibadian tinggi, sangat kuat bekerja, bertanggungjawab dan taat pada amanah.
"Ini sikap yang perlu ada dalam diri setiap pemimpin di semua peringkat...berbincang untuk menyelesaikan masalah dan mencari solusi segera," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, pada Isnin.
Wan Muhammad Arif juga meluahkan penghargaan terhadap inisiatif Rahmah yang dicetuskan Allahyarham, yang diakui membantu ramai mahasiswa khususnya mereka yang kurang berkemampuan.
Minggu lalu, Gamis menggerakkan petisyen bagi menggesa kerajaan menangani peningkatan harga barangan sehingga membebankan rakyat, khususnya golongan mahasiswa.
Dalam reaksi balasnya, Salahuddin berkata beliau mengalu-alukan kehadiran Gamis bagi mengadakan perbincangan secara terbuka dan profesional, malah akan mengaturkan untuk mengadakan pertemuan dengan kumpulan itu.
Allahyarham yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, meninggal dunia pada 9.23 malam Ahad di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah.