Salahuddin cadang tubuh jawatan kuasa pantau gerak-geri pegawai tinggi kerajaan
Israr Khalid
Julai 3, 2017 21:57 MYT
Julai 3, 2017 21:57 MYT
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Salahuddin Ayub mencadangkan penubuhan sebuah jawatan kuasa khas bagi memantau tindak-tanduk Peguam Negara, Ketua Polis Negara dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Jawatan kuasa yang akan dianggotai individu berpengaruh negara itu akan memastikan para pegawai tinggi kerajaan ini menjalankan tugas dengan penuh berintegriti sepertimana sumpah mereka ketika menerima tanggungjawab yang diamanahkan.
“Kita akan seru dan ambil kira untuk berikan peluang kepada bekas-bekas pegawai tinggi kerajaan seperti bekas hakim, peguam negara, tokoh-tokoh perundangan dan ahli akademik yang masih dipandang tinggi rakyat.
“Ia supaya setiap salah laku yang dilakukan oleh mana-mana pihak tidak kira siapa pun mereka, sama ada sudah bersara atau belum, dibawa ke muka pengadilan, bukan dibersihkan begitu sahaja tanpa ada pendakwaan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Amanah di sini, hari ini.
Jelas Salahuddin, cadangan itu diajukan berikutan semakin banyak bukti didedahkan berhubung salah laku kepimpinan tertinggi dalam kerajaan khususnya berkaitan skandal 1MBD dan Felda, namun tiada sebarang tindakan diambil.
Ironinya, negara-negara luar pula memandang serius isu yang berlaku dalam negara dan telah pun mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang negara masing-masing.
Katanya, jawatan kuasa itu masih dalam perancangan dan cadangan itu akan dibawa mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang akan datang.
Beberapa nama yang dirasakan layak menganggotai jawatan kuasa ini sudah pun dikenal pasti dan akan diumumkan dalam masa terdekat setelah mendapat persetujuan mesyuarat.
Menurut Salahuddin, jawatan kuasa yang akan dianggotai sekitar 10 hingga 15 individu itu tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa, tetapi tugas mereka lebih kepada mengikuti rapat dan menasihat pegawai-pegawai tinggi terlibat.
“Sebagai contoh, suara-suara badan bukan kerajaan (NGO) dalam negeri dan luar negara, itu memberikan kesan. Apatah lagi tokoh-tokoh yang memberi jasa, kedudukan mereka yang tinggi, ada nama baik semasa menjalankan tugas.
“Suara-suara seperti ini penting untuk menyedarkan rakyat betapa pentingnya negara ini mesti dijaga dipelihara. Dan saya cukup yakin dan percaya bahawa tokoh-tokoh seperti ini, suara mereka sangat besar terhadap kesedaran masyarakat,” jawabnya.