Salahuddin Ayub usul bahas isu Azam Baki di Parlimen

Azyyati Ahmad
Januari 6, 2022 11:40 MYT
SALAHUDDIN: Ini adalah perkara berkenaan dengan kepentingan ramai bagi mengembalikan keyakinan orang awam terhadap SPRM. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Salahuddin Ayub menggesa satu usul tergempar dibahaskan pada persidangan Parlimen berkaitan dakwaan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki memiliki saham dengan jumlah yang melampau.
Dalam pemakluman surat usul bertarikh 5 Jan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun, Ahli Parlimen Pulai itu berkata, isu tersebut adalah berkenaan kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan, selari dengan peruntukan Peraturan Mesyuarat 18(1)(2).
"Isu tersebut perlu disegerakan untuk menggesa Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) melakukan siasatan lebih lanjut terhadap dakwaan Ketua Pesuruhjaya SPRM memiliki saham dengan jumlah yang melampau seperti yang dilaporkan akhbar rasmi.
"Ini adalah perkara berkenaan dengan kepentingan ramai bagi mengembalikan keyakinan orang awam terhadap SPRM dalam mengekang aktiviti rasuah serta aktiviti yang menjerumus kepada pecah amanah yang mana kerajaan bertanggungan untuk menjawab perkara ini," katanya seperti dipetik dalam pemakluman usul tersebut.
Tegas Salahuddin lagi, usul berkenaan harus dibahaskan pada sidang Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14, sehari selepas Titah Diraja pada 1 Mac 2022.
"Saya harap usul yang penting ini dapat diterima dan dibahas di dewan persidangan, bukan dalam kamar khas, kerana isu ini sangat menyentuh persoalan integriti seorang penjawat awam yang menimbulkan persoalan kepercayaan di kalangan rakyat awam," tambahnya.

Pagi ini 6 Januari 2022 bagi pihak rakyat Malaysia saya mengambil tanggungjawab membawa isu pemilikan saham yang sangat mencurigakan oleh penjawat tertinggi SPRM. Satu usul tergempar dibawah peraturan 18(1) (2) telah saya hantar kepada Speaker Dewan Rakyat. pic.twitter.com/z9dvmhht2B

— Salahuddin Ayub (@MyDSA_official) January 6, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
BACA: Dakwaan terhadap Azam Baki: Pemilikan saham penjawat awam? Ini yang anda perlu tahu
BACA: Azam Baki perlu jadi 'gentleman' jika yakin di pihak yang benar - PEMBELA
Azam pada Rabu menafikan tuduhan beliau mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat, serta menyifatkannya sebagai tohmahan yang berniat jahat.
Katanya, ia merupakan satu penipuan besar untuk memberi persepsi negatif terhadapnya.
Sementara itu, Pengerusi LPPR Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, LPPR dalam mesyuarat khas pada 24 Nov 2021 telah mendapatkan penjelasan Azam berhubung perkara itu.
Katanya, Azam menjelaskan, akaun sahamnya digunakan oleh adiknya untuk membeli saham-saham pada tahun 2015.
BACA: Siasatan kes melibatkan pegawai SPRM sepatutnya dibuat jawatankuasa bebas - TI-M
BACA: Isu Azam Baki: Kegagalan beri penjelasan menyeluruh hakis kepercayaan terhadap SPRM
Abu Zahar berkata pembelian saham-saham berkenaan dibuat di pasaran saham terbuka dan tidak melibatkan sebarang pencanggahan kepentingan.
Saham-saham itu juga, katanya, telah dipindahkan kepada Nasir pada tahun yang sama.
LPPR merupakan satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM.
BACA: "Demi Allah, demi Rasul saya tidak bohong... saya tidak terima surat Edmund" - Abu Zahar
BACA: Terence Gomez letak jawatan ahli panel SPRM
#Azam Baki #Salahuddin Ayub #pemilikan saham penjawat awam #SPRM
;