Salah tanggapan antara punca pelajar sekolah kurang minat bidang STEM
Bernama
Oktober 16, 2018 04:22 MYT
Oktober 16, 2018 04:22 MYT
Kurangnya minat pelajar sekolah di negara ini dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) adalah disebabkan terlalu banyak teori yang perlu dipelajari selain salah tanggapan terhadap bidang berkenaan.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Dr Mohd Sahandri Gani Hamzah berkata antara tanggapan yang sering disalah tafsir pelajar mengenai bidang STEM ialah sukar mendapat pekerjaan apabila tamat pengajian, sukar untuk dipelajari selain kurang mendapat pendedahan terhadap pendekatan aktiviti 'hands-on'.
"Justeru itu, pihak sekolah perlu mewujudkan pelbagai inisiatif seperti mengadakan program dan seminar untuk menarik minat pelajar dalam bidang STEM," katanya ketika berucap mewakili Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran pada Majlis Kolokium Pendidikan STEM 2018 Zon Perak di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City di sini pada Selasa.
Beliau berkata UPSI sebagai universiti pendidikan di negara ini turut mengambil inisiatif bagi menangani permasalahan ini antaranya menerusi penganjuran kolokium dan seminar yang dapat memberi manfaat guru, kaunselor, penyelidik, pelajar termasuk ibu bapa serta orang awam.
Terdahulu, majlis itu dirasmikan Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan Kementerian Pendidikan, Dr Ahmad Rafee Che Kassim yang mewakili Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Sulaiman Wak.
Kolokium anjuran Kementerian Pendidikan dan UPSI itu diadakan bertujuan meningkatkan kompetensi, pengetahuan dan kemahiran guru bagi memantapkan proses pengajaran dan pembelajaran berkaitan mata pelajaran STEM selain dapat memperoleh maklumat terkini berkaitan kerjaya STEM supaya golongan pendidik dapat menyebarluaskan kepada pelajar.
-- BERNAMA