Salah seorang mangsa kapal karam yang dikhuatiri hilang ditemukan selamat

Nuzuluddin Abdul Razak
Jun 26, 2022 06:16 MYT
Ketika ini gerakan mencari dan menyelamat (SAR) masih giat dijalankan dengan bantuan pihak Polis dan penduduk kampung.
KUCHING: Seorang lagi mangsa kapal muatan pasir yang karam dan terbalik di Batang Igan berhampiran Kampung Bungan Kecil, Mukah ditemui selamat oleh penduduk kampung.
Lelaki tempatan dikenali sebagai Mohd Taufik, 50 tahun itu dilaporkan hanyut sejauh 300 meter dari lokasi kejadian ke hilir Sungai Kut dan berjaya berenang ke daratan untuk menyelamatkan diri.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro, Mohd Nor Abdullah dalam satu kenyataan berkata pihaknya masih melakukan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa warganegara Indonesia.
“Pada awal kejadian dua mangsa berjaya selamat berenang sepertimana laporan awal manakala mangsa ketiga juga selamat berenang setelah dihanyutkan arus sungai ke hilir sebelum pihak bomba sampai di lokasi.
“Seorang lagi mangsa, berbangsa Cina, warganegara Indonesia berumur lingkungan 20-an masing hilang dan radius pencarian dibuat anggaran 200 kaki sekitar lokasi mangsa hilang kapal karam,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Berdasarkan maklumat awal, sekitar jam 4.20 pagi Balai Polis Sungai Merah di Sibu telah menerima maklumat awam yang membuat panggilan terus ke balai, memaklumkan sebuah kapal yang didaftarkan dengan nama Yu Lee tenggelam di Kampung Bungan Kecil.
Ketika kejadian, pelapor yang identitinya dikenal pasti sebagai Aping Sidu telah berjaya menyelamatkan dua daripada empat mangsa, yang merupakan pekerja kapal terbabit.
Dua lagi mangsa tempatan yang selamat dikenali sebagai Lee Sia Kong, 40 tahun dan Ngu Soon Hock, 50 tahun juga pekerja kapal berkenaan
Ketika ini gerakan mencari dan menyelamat (SAR) masih giat dijalankan dengan bantuan pihak Polis dan penduduk kampung.
#kapal karam #mangsa ditemukan selamat #Kapal di Batang Igan #Sarawak