Salah pilih makanan punca rakyat terdedah diabetis - Perdim
Astro Awani
Februari 18, 2019 05:18 MYT
Februari 18, 2019 05:18 MYT
Pemilihan makanan yang salah menjadi punca ramai rakyat negara ini terdedah kepada masalah kesihatan kronik seperti diabetes walaupun di usia muda.
Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) Dr Norman Mohd Norawi menegaskan, ia termasuk memilih menu atau makanan dengan kandungan lemak trans, gula putih dan karbohidrat dan yang tinggi.
"Ini menjadi punca kepada masalah kesihatan kronik seperti diabetes, hypertensi dan sakit jantung.
"Selain itu, kurang bersenam atau kurang aktiviti fizikal, stres melampau dan berterusan juga menyumbang kepada masalah ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
Amalan gaya hidup tidak sihat, kurang bersenam dan mengambil sajian tinggi gula antara faktor menyumbang seramai 3.5 juta golongan dewasa disahkan menghidap diabetes, di negara ini.
Kajian Kesihatan Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 2015, mendapati 17.5 peratus penduduk berusia lebih 18 tahun adalah penghidap diabetes tahap dua.
Mereka antara penduduk dunia disahkan menghidap kencing manis dengan jumlah 425 juta, pada tahun ini dan dijangka meningkat 522 juta, menjelang 2030.
Dalam pada itu jelas Dr Norman, penyakit diabetes antara penyakit yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Ia berpunca pemilihan menu yang tidak sihat berpunca daripada kadar glukosa yang tinggi dalam saluran darah dan kegagalan fungsi pankreas dalam menghasilkan insulin dengan sempurna," katanya.
Menurutnya, rakyat seharusnya mengawal kadar gula dalam darah dengan memastikan corak pemakanan yang diamalkan harus dipantau dengan baik.
"Antara makanan yang wajib kita cegah untuk mengelak penyakit diabetes ialah mengurangkan pengambilan makanan bergula tinggi, makanan bergoreng, makanan mempunyai kadar kolesterol yang tinggi.
"Harus diingat, makanan yang mempunyai kadar gula yang tinggi dan adalah musuh utama bagi penghidap diabetes.
"Antaranya menu atau makanan yang disediakan menggunakan pemanis seperti ais krim, kuih donat, aneka pastri, coklat susu, makanan dengan campuran manisan buatan," ujarnya.
Dalam pada itu katanya, seramai 4,300 peserta telah mendaftar untuk program kesihatan berunsurkan larian, Doctor Run 2019, yang julung kali akan diadakan Mac ini.
"Ia hampir mencapai sasaran penganjur iaitu 5,000 peserta.
"Saya juga optimis jumlah peserta akan meningkat lagi menjelang pendaftaran larian yang akan ditutup pada Jumaat, 22 Februari ini.
"Larian ini mempunyai aura yang tersendiri dengan penyertaan lebih kurang 1,700 doktor-doktor bertauliah dari seluruh negara," katanya.
Tambah Dr Norman, sokongan daripada dokor dalam memeriahkn larian itu membuktikan pengamal kesihatan amat menggalakan senaman fizikal bagi menjamin kesihatan optimum.
Program pada 24 Mac ini akan bermula seawal jam 6 pagi di Dataran Merdeka Kuala Lumpur.
Ia menawarkan hadiah wang tunai kepada pemenang tempat pertama sehingga kelima bagi setiap kategori larian 12 kilometer dan 17 kilometer.
Bagi memeriahkan lagi pertandingan, penganjur juga turut menawarkan hadiah bagi pemenang kostum doktor terbaik selain cabutan bertuah yang kesemuanya bernilai RM15,000.
Program itu turut menyasarkan 5,000 peserta dari pengamal perubatan moden swasta serta kerajaan selain seluruh lapisan masyarakat di sekitar Lembah Klang.
Orang ramai juga boleh melayari http://checkpointspot.asia/DoctorRun dan juga Facebook Doctor Run di https://www.facebook.com/doctorrun2019/ untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai acara larian berkenaan.