Salah laku seksual, bekas pembantu Anwar fail saman sivil
Hakim Rahman
Julai 15, 2021 14:30 MYT
Julai 15, 2021 14:30 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas pembantu penyelidikan, Muhammad Yusoff Rawther memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan salah laku seksual pada Oktober 2018.
Pernyataan saman tersebut turut mengandungi butiran terperinci serangan seksual yang didakwa berlaku di sebuah kediaman di Bukit Segambut sewaktu bertugas sebagai pembantu penyelidikan kepada Presiden PKR itu.
Dalam pernyataan tuntutannya, Yusoff memohon deklarasi bahawa defendan (Anwar) melakukan serangan seksual dan/ atau beberapa perbuatan pencerobohan terhadapnya sehingga dia mengalami trauma dan perlu mendapatkan khidmat terapi psikologi.
"Dari masa Jabatan Peguam Negara mengeluarkan kenyataan media sehingga ke tarikh pemfailan saman ini, saya terpaksa menghadapi penghinaan dan ejekan masyarakat dan menjadi bahan serangan lisan/ verbal di kalangan pemimpin-pemimpin politik yang menyokong defendan (Anwar).
"Saya telah menerima kritikan yang kasar hanya kerana menuntut hak dan remedi untuk salah laku Anwar yang memimpin jentera politik dan mempunyai pakatan dengan pelbagai pihak di dalam serta luar negara," kata Yusoff.
Dia juga menuntut ganti rugi khas sebanyak RM180 bagi setiap sesi terapi, selain ganti rugi umum, teladan dan teruk, kos mahkamah, faedah lima peratus setahun untuk sebarang jumlah penghakiman serta relif lain yang dianggap sesuai.
Dalam Penyataan Tuntutan yang dilihat oleh Astro AWANI itu, Yusoff memperincikan lebih 12 insiden serangan seksual dan perbuatan pencerobohan ke atas dirinya oleh defendan (Anwar).
Antaranya insiden ketika defendan memeluk plaintif secara paksaan dan cuba memasukkan tangannya ke dalam seluar plaintif dan meramas punggung plaintif tanpa kebenaran.
Pada Disember 2019, Yusoff membuat perakuan bersumpah dan membuat laporan polis mendakwa menjadi mangsa percubaan serangan seksual oleh Anwar di rumah ketua pembangkang itu pada 2 Oktober 2018.
Pejabat Peguam Negara pada 14 Januari 2020 berkata pihaknya tidak akan membuat pendakwaan terhadap Anwar atas dakwaan itu kerana kekurangan bukti dan percanggahan fakta material yang tidak dapat menyokong pendakwaan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Pejabat Peguam Negara bersetuju dengan polis supaya kes itu ditutup dan siasatan hanya boleh dibuka semula jika terdapat bukti baharu.