Salah guna WeChat untuk aktiviti persundalan, suami isteri dipenjara
Astro Awani
Jun 25, 2019 18:07 MYT
Jun 25, 2019 18:07 MYT
Perbuatan sepasang suami isteri menggunakan akaun aplikasi WeChat untuk aktiviti persundalan memakan diri apabila bakal berdepan penjara sehingga setahun dan denda sehingga RM50,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Klang, pada Selasa.
Muhammad Saruddin Basri, 23 dan Noor Shahfizan Shamsuddin,24, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Razali Ariffin selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.
Razali bagaimanapun menetapkan 23 Julai ini sebagai tarikh hukuman.
Kedua-dua tertuduh juga tidak dibenarkan ikat jamin sementara menunggu tarikh tersebut.
Mengikut pertuduhan, pasangan itu mengaku secara sedar telah menggunakan aplikasi tersebut atas akaun Mirra untuk memberikan komunikasi lucah bagi tujuan komersial.
Kesalahan itu dilakukan mereka di Flat Cempaka, Persiaran Bukit Raja, jam 3 petang pada 4 Disember lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sehingga setahun dan denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zahidah Abdullah menegaskan, pihaknya tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan tertuduh tidak mempunyai alamat tetap yang menyukarkan usaha mengesan mereka.
Mahkamah menetapkan hukuman tarikh lain sementara menunggu laporan forensik terhadap telefon bimbit tertuduh.
Muhammad Saruddin akan ditempatkan di Penjara Sungai Buloh manakala Shahfizan di Penjara Kajang sementara menanti tarikh hukuman mereka.
#Mahkamah Sesyen Klang
#persundalan
#Salah guna WeChat untuk aktiviti persundalan
#suami isteri dipenjara