Salah guna lorong kecemasan antara punca kesesakan - PLUS

Hilal Azmi
Januari 28, 2017 21:38 MYT
Lebih 1.6 juta kenderaan menggunakan Lebuhraya Utara Selatan ketika musim perayaan. -Foto Astro AWANI / Hilal Azmi
Musim perayaan menyaksikan peningkatan jumlah kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sehingga 15 peratus kepada 1.6 juta kenderaan.
Menurut Pengurus Wilayah Selatan PLUS, Roszi Ibrahim, selain peningkatan jumlah kenderaan, pengguna lebuh raya yang menggunakan lorong kecemasan menjadi antara punca utama kesesakan di lebuh raya berkenaan.
"Selalunya, apabila kenderaan bergerak perlahan, pengguna yang menggunakan lorong kecemasan akan menyebabkan laluan utama sesak apabila ia turut membabitkan kenderaan yang rosak berhenti di tepi lebuh raya.
"Untuk mengelak kenderaan yang rosak berkenaan, maka mereka kembali ke lorong utama lantas menjadikan pergerakan menjadi perlahan lantas sesak sehingga lebih lima kilometer," katanya kepada Astro AWANI selepas membuat tinjauan udara ke sektor selatan PLUS pada Sabtu.
Jelasnya lagi, kemalangan, kenderaan rosak dan faktor cuaca antara perkara yang turut menyebabkan lebuh raya sesak di musim perayaan.
Justeru itu, pihak PLUS dengan kerjasama Unit Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mengambil tindakan kepada pengguna yang tidak bertanggungjawab menggunakan lorong kecemasan.
Roszi pada masa sama turut mengingatkan pengguna PLUS untuk memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.
Jelas beliau, kenderaan rosak yang tersadai di tepi lebuh raya juga turut memberi kesan kepada keadaan lalu lintas.
#lorong kecemasan #musim perayaan #PLUS #punca kesesakan #Roszi Ibrahim
;