Salah guna kuasa: YDP badan kebajikan direman
Astro Awani
Jun 30, 2022 13:52 MYT
Jun 30, 2022 13:52 MYT
KUALA TERENGGANU: Seorang Yang Dipertua (YDP) sebuah pertubuhan kebajikan di Terengganu direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa.
Turut direman, seorang pengarah urusan sebuah syarikat usaha sama yang juga mempunyai kepentingan ke atas syarikat tersebut.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Mazrinie Mahmood hari ini, bermula Khamis hingga Isnin depan.
Ia bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dilakukan.
Suspek yang berusia 80an itu disyaki menggunakan jawatannya dengan melantik suspek kedua sebagai pengarah urusan sebuah syarikat usaha sama pada 2018.
Suspek dikatakan mempunyai kepentingan ke atas syarikat berkenaan.
Terdahulu kedua-dua suspek bersama rakannya yang berumur 50-an itu ditahan kira-kira jam 2.50 petang pada Rabu.
Kedua-dia mereka ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).