Salah guna kuasa, penolong pegawai pendidikan daerah ditahan

Bernama
Ogos 29, 2022 05:45 MYT
Lelaki berumur dalam lingkungan 40-an itu ditahan di pejabat SPRM Sabah cawangan Sandakan kira-kira 11 pagi Isnin. - Gambar hiasan
SANDAKAN: Seorang penolong pegawai pendidikan daerah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai menyalahgunakan kedudukannya bagi melantik syarikat milik anak saudaranya dalam tender kantin sebuah sekolah bernilai RM50,000.
Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy berkata suspek lelaki berumur dalam lingkungan 40-an itu ditahan di pejabat SPRM Sabah cawangan Sandakan kira-kira 11 pagi Isnin ketika hadir memberi keterangan berhubung kes tersebut.
"Tender tersebut bagi tempoh tiga tahun sekitar Disember 2015 hingga November 2018.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Karunanithy berkata suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Sandakan dalam tempoh terdekat.
-- BERNAMA
#SPRM #Penolong pegawai pendidikan daerah #salah guna kuasa #tender kantin
;