Salah guna kuasa: Mahkamah Rayuan tolak permohonan Muhyiddin semak keputusan

Faida Rahim
September 11, 2024 10:35 MYT
Muhyiddin ketika tiba di Istana Kehakiman Putrajaya hari ini, diiringi beberapa pemimpin parti Perikatan Nasional. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini menolak permohonan bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyemak keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikan empat pertuduhan salah guna kuasa membabitkan RM232.5 juta.
Berikutan itu, Muhyiddin kekal berdepan pertuduhan terbabit di Mahkamah Sesyen.
Keputusan itu dibuat panel lima hakim Mahkamah Rayuan (panel lain) dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi, bersama-sama Datuk Ruzima Ghazali, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.
Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhyiddin berkata pihaknya akan meneliti dan mengkaji peruntukan undang-undang berkaitan.
“Kami menghormati keputusan mahkamah. Walaupun kecewa dengan keputusan hari ini, kami akan mengkaji alasan-alasan diberikan mahkamah.
“Mahkamah pada dasarnya bersetuju dengan hujah kami kecuali mahkamah hari ini bersetuju bidang kuasa mahkamah tinggi merangkumi semakan kehakiman,” katanya.
Hisham berkata pihaknya memerlukan masa untuk meneliti keputusan hari ini untuk tindakan pembelaan selanjutnya.
Pada 15 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Muhyiddin, 77, daripada empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah RM232.5 juta bagi Bersatu.
Bagaimanapun, pada 28 Februari lalu, panel tiga hakim di Mahkamah Rayuan, mengarahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut, selepas membenarkan rayuan pendakwaan.
Ahli Parlimen Pagoh terbabit diwakili peguam, Hisyam selaku pemohon sementara pendakwaan sebagai responden oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Mengikut pertuduhan, Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ketika itu dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti berkenaan.
Selain empat pertuduhan itu, Muhyiddin turut berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram (AMLA) berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.
#Muhyiddin Yassin #Mahkamah Rayuan #keputusan mahkamah #Jana Wibawa
;