Salah guna dana, Anwar gesa audit forensik 3 organisasi bertanggungjawab bangun masyarakat India
Umavathi Ramayah
September 11, 2022 16:31 MYT
September 11, 2022 16:31 MYT
KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa audit forensik dilakukan ke atas tiga organisasi bertanggungjawab dalam pembangunan kaum India yang didakwa menyalah guna dana kerajaan bagi pembangunan masyarakat itu.
"Audit forensik harus segera digerakkan bagi menyiasat secara terperinci ketirisan dana awam yang bertujuan untuk pembangunan masyarakat India.
"Saya gesa masyarakat India untuk terus konsisten cakna tentang isu ini kerana ia melibatkan jutaan ringgit dana awam yang perlukan penjelasan dan jawapan dari kerajaan.
"Masyarakat India perlu berani menyikapi (membincangkan) permasalahan ini kerana ia melibatkan dana awam yang sepatutnya disalurkan ke arah pembangunan masyarakat India secara holistik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Masyarakat dan Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) India di Shah Alam, dekat sini pada Sabtu.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, kaum India sejak sekian lama dipinggirkan di sebalik pelbagai dana disalurkan kerajaan menerusi tiga entiti berkenaan.
“Mereka mengeluh hidup dalam kemiskinan dan akses terhad kepada pendidikan.
"Peruntukan yang diberikan kepada mereka tidak diurus dengan baik,” katanya.