Saksikan gerhana penuh 'supermoon' 31 Januari ini
Astro Awani
Januari 17, 2018 16:07 MYT
Januari 17, 2018 16:07 MYT
Penduduk di Timur Eropah, Timur Afrika, Asia, Australia dan Amerika Utara bakal menyaksikan fenomena gerhana penuh 'supermoon' pada 31 Januari ini.
Fenomena gerhana penuh 'supermoon' ini yang juga akan kelihatan di Malaysia akan mengambil masa selama 5 jam 17 minit bermula jam 6.51 petang hingga 12:08 pagi 1 Februari.
Agensi Angkasa Negara dalam kenyataannya memberitahu, fasa gerhana akan berlaku ketika bulan terbit di ufuk Timur kecuali Sabah dan Sarawak di mana gerhana bermula selepas bulan terbit.
Fasa gerhana penuh maksimum akan berlaku pada jam 9.29 malam dan keseluruhan fenomena ini akan berakhir pada jam 12.08 pagi 1 Februari.
Gerhana bulan penuh berlaku apabila matahari, bumi, dan bulan berada di kedudukan sebaris dan keseluruhan bulan merentasi bayangan umbra Bumi.
Ketika hampir berlakunya gerhana pada 31 Januari ini, bulan baru sahaja melepasi kedudukan perigee iaitu pada 30 Januari dengan jarak 358,993 kilometer dari Bumi dan sekali gus menjadikan gerhana kali ini sebagai 'gerhana supermoon' .
Takrifan ‘supermoon’ adalah apabila bulan berada pada jarak kurang daripada 360,000 kilometer dari bumi.
Sehubungan itu, Observatori Negara Langkawi, akan mengadakan aktiviti pencerapan bagi orang awam untuk menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh ini secara lebih dekat.
Angkasa akan menyediakan beberapa buah teleskop mudah alih untuk digunakan pengunjung dan penyertaan adalah percuma.
Lokasi-lokasi lain yang boleh dikujungi oleh orang ramai untuk aktiviti pencerapan di bawah:
a) Planetarium Negara, Kuala Lumpur
b) Balai Cerap Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan
c) Balai Cerap Selangor, Sungai Lang Parit Baru, Sungai Ayer Tawar, Selangor
d) Balai Ceral Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka
e) Pantai Tok Jembal, Terengganu (anjuran Balai Cerap Kusza)
f) Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu, Sabah (Sabah Stargazers Observatory)
g) Balai Cerap Kota Bharu, Kampung Kubang Rawa, Salor, Kelantan
Fenomena gerhana bulan penuh akan berlaku sekali lagi pada 28 Julai dan akan turut kelihatan di Malaysia.
#Angkasa
#Gerhana
#Gerhana bulan penuh
#gerhana supermoon
#Kelantan
#Malaysia
#Melaka
#Observatori Negara Langkawi
#Planetarium Negara
#Port Dickson
#Sabah
#Sarawak
#Supermoon
#umbra